Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski melihat aksi menentang Cape Verde begitu penting buat pemain Malaysia yang berehat terlalu lama.
Pertemuan mengujakan ini bakal menjadi tumpuan tatkala ini merupakan salah satu ujian pemanas badan kepada Harimau Malaya sebelum bertemu Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia.
Persiapan rapi turut dilakukan oleh Cklamovski serta barisan kejurulatihan dengan memanggil 38 pemain untuk menjalani kem latihan 3 fasa sejak minggu lalu setelah pemain kembali dari rehat panjang.
Menurut Cklamovski, kem latihan yang dijalani oleh pasukan menjadikan para pemain lebih baik setiap hari serta pastinya aksi bertemu Cape Verde bakal jadi pembelajaran baik untuk Harimau Malaya.
”Apa yang kami akan buat adalah beri aksi terbaik pada hari esok, kerana itu kami cuba menjadi lebih baik setiap masa,” ujar Peter Cklamovski ketika sesi sidang media.
”Keputusan pada Khamis adalah pelajaran buat kami menjadi lebih baik dan kami akan bertemu lagi (untuk aksi kedua) jadi kami akan bekerja keras lagi dari segi corak permainan serta kecergasan.”
Oleh itu, Cklamovski melihat pertemuan menentang pasukan ke-72 dunia ini akan jadi suatu ujian pra-musim buat Harimau Malaya tatkala para pemain baru kembali dari rehat bersama kelab masing-masing.
“Ini bagaikan aksi pra-musim buat kami, 10 aksi bermain dengan pasukan hebat seperti ini, adalah satu ujian baik untuk kami,” tambah beliau.
Aksi Malaysia vs Cape Verde akan berlangsung pada Khamis, 29 Mei di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan sepak mula perlawanan bermula jam 9 malam.