Malaysia kehilangan khidmat orang besi Sabah FC, Dominic Tan menjelang aksi pemanas badan pertama menentang Cape Verde.
Khabar ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam. Dominic mengalami kecederaan di bahagian pangkal paha.
Kecederaan ini menyebabkan beliau bukan saja mungkin terlepas dua aksi pemanas badan menentang The Blue Sharks. Malah, Dominic juga terpaksa melupakan aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.
“Saya difahamkan selepas dua hari menjalani latihan, pemain pertahanan Sabah itu terpaksa diketepikan (akibat kecederaan),” katanya kepada Nadi Arena.
“Menerusi perkongsian beliau dengan saya hari ini, beliau kecewa tidak dapat mengikuti latihan dan menjangkakan mungkin terlepas aksi menentang Cape Verde dan seterusnya, ujian getir menentang Vietnam.
“Beliau tidak dapat mengetepikan masalah kecederaan yang beliau alami. Masalah kecederaan itu ialah masalah kecederaan di pangkal paha. Jadi, saya rasa beliau terpaksa akur dan mengikuti program pemulihan di bawah Dr. Craig Duncan.”
Meskipun mengalami kecederaan, Dominic akan terus bersama skuad kebangsaan. Beliau menjalani pemulihan di bawah seliaan Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Harimau Malaya itu.
Ini kerana langkah tersebut dijangka membantu Dominic kembali cergas bila kembali menyertai Sabah. Seterusnya, ini membantu beliau kembali merebut tempat untuk panggilan kem seterusnya pada September ini.
Malaysia akan menentang Cape Verde untuk aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 29 Mei.