Nasib pemain tengah berbakat, Wan Kuzain Wan Kamal kini di tangan Peter Cklamovski.
Pemain berusia 25 tahun itu berada di Malaysia selama seminggu dan berpeluang untuk menyaksikan aksi Malaysia menentang Singapura di Bukit Jalil tempoh hari.
Beliau merupakan antara pemain yang bakal memperkuat Harimau Malaya selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Dato’ Hamidin Mohd Amin mengesahkan bahawa Wan Kuzain bakal menerima pasport untuk mewakili pasukan negara.
“Sepatutnya kali ini (Pestabola Merdeka), Wan Kuzain dah sertai kem Malaysia. Beliau telah menghubungi saya beberapa bulan lalu namun nasib tidak baik kerana Wan Kuzain sedang cedera.
“InsyaAllah selepas pulih dari kecederaan, beliau akan datang, dapat pasport dan bermain untuk Malaysia,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM.
Peluang pemain St Louis City 2 ini beraksi bersama Harimau Malaya bagaimanapun akan ditentukan oleh pengendali baharu, Peter Cklamovski.
Pengendali berusia 46 tahun itu dilantik sebagai jurulatih baharu skuad kebangsaan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Wan Kuzain pernah dipanggil untuk menjalani latihan bersama skuad B-23 Malaysia pada tahun 2019 bagi menghadapi aksi Sukan SEA namun faktor dokumentasi menyekat hasratnya untuk beraksi buat Harimau Malaya.
Ujian pertama Harimau Malaya pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 adalah menentang Nepal di laman lawan pada 25 Mac 2024.