Perlawanan kumpulan G Piala AFC ini menemukan wakil Malaysia, Kedah Darul Aman FC yang bertemu dengan kelab Filipina, Kaya FC. Kemenangan telah berpihak kepada pasukan Kedah yang mudah menewaskan Kaya dengan keputusan 4-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Kapten I Wayan Dipta sebentar tadi.
Gol-gol pasukan Kedah dijaringkan oleh Fayadh Zulkifli (2 gol), Mahmoud Al-Mardi dan Ronald Ngah Wanja. Manakala gol tunggal Kaya FC dijaringkan oleh Javier Gayoso.
Perlawanan ini bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Namun begitu, beberapa peluang keemasan pada separuh masa pertama tidak dapat diterjemahkan dengan jaringan gol.
Pesta gol Kedah bermula pada minit ke-57 melalui pemain sayap lincah mereka, Fayadh Zulkifli yang menolak masuk hantaran dari Ronald Ngah. Kredit perlu diberikan kepada Ronald Ngah yang menggunakan kekuatan badan untuk melepaskan diri dari kawalan pertahanan lawan sebelum membuka ruang buat Fayadh.
Kedah tidak perlu menunggu lama untuk menjarakkan kedudukan menjadi 2-0 selepas Mahmoud Al-Mardi mencatatkan nama sebagai penjaring pada minit ke-63 sekali lagi melalui ‘assist’ dari Ronald Ngah.
Selepas menyumbang dua bantuan gol, Ronald Ngah mempunyai peluang keemasan pada minit ke-67 dan pada minit ke-74 namun kedua-dua percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Kaya FC, Quincy Kammeraad.
Selepas beberapa percubaannya diselamatkan penjaga gol, Ronald Ngah akhirnya meledak pada minit ke-82 selepas menerima hantaran dari Azmeer Aris dari bawah.
Kaya FC memperolehi gol saguhati menerusi Javier Gayoso pada minit ke-86 hasil rembatan jarak dekat yang berjaya menewaskan Shahril Sa’ari di gawang Kedah.
Ketika perlawanan hampir ditamatkan, Fayadh sekali lagi meledak melalui satu rembatan leret untuk menghadiahkan kemenangan pertama Kedah dalam saingan Piala AFC ini.
Kedah akan menutup saingan kumpulan bertemu kelab dari Kemboja, Visakha juga merupakan pendahulu kumpulan G selepas dua kemenangan yang dicatatkan ke atas Kaya FC dan Bali United.