Tiga negara ASEAN mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2026 selepas terkandas di peringkat kumpulan.
Tiga negara tersebut ialah Indonesia, Myanmar dan Thailand. Myanmar dan Thailand tersingkir selepas kedua-dua pasukan menduduki tempat ketiga dan keempat Kumpulan A dengan satu mata.
Satu mata itu diraih apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Latihan (Padang B), Bandar Sukan Raja Abdullah.
Indonesia pula tersingkir meskipun memulakan kempen Kumpulan B dengan positif. Ini selepas mereka tewas sebanyak dua kali di tangan Jepun dan Qatar.
Satu-satunya pasukan ASEAN yang berjaya mara ke peringkat suku akhir ialah Vietnam. Vietnam mencipta kejutan apabila bergelar juara Kumpulan C.
Kejayaan itu diraih dengan menewaskan Yaman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi peringkat kumpulan.
Anak buah Cristiano Roland bakal bertemu dengan Australia di peringkat suku akhir. Aksi ini akan berlangsung pada 16 Mei ini.