Piala Dunia 2026: England Hentikan Perjalanan Hebat Norway
MakanBola
England

Perjuangan Norway dalam saingan Piala Dunia FIFA berakhir di suku akhir selepas tewas kepada England menerusi masa tambahan di Stadium Miami awal pagi, sekali gus menghadiahkan slot separuh akhir buat The Three Lions.

Selaku pasukan pilihan, The Three Lions menepati ramalan apabila menewaskan Landslaget 2-1 selepas masa tambahan, dengan Jude Bellingham mencuri tumpuan menerusi jaringan dua gol beliau.

John Stones mengisi tempat Jarell Quansah yang digantung, sementara Noni Madueke menggantikan Bukayo Saka, manakala Norway mengekalkan hampir keseluruhan kesebelasan dengan hanya Andreas Schjelderup menggantikan Antonio Nusa.

Andreas Schjelderup meletakkan Norway di depan pada minit ke-36 menerusi sepakan kaki kiri deras dari luar kotak penalti yang memperdayakan Jordan Pickford, yang menyangka bola itu merupakan hantaran lintang.

England kembali dalam permainan pada minit 45+2 selepas Jude Bellingham mempamerkan ketenangan luar biasa dengan membawa bola melepasi beberapa pertahanan Norway sebelum melepaskan rembatan menggunakan kaki kirinya.

Tidak menunggu lama selepas rehat, Thomas Tuchel melakukan perubahan di bahagian serangan apabila Bukayo Saka dan Eberechi Eze diperkenalkan untuk mengubah rentak permainan England.

Pada minit ke-55, Norway menyangka mereka kembali mendahului 2-1 menerusi Torbjørn Heggem selepas memanfaatkan situasi kecoh di hadapan gawang England hasil sepakan sudut, tetapi gol itu tidak dikira kerana berlaku foul terhadap Elliot Anderson.

Aksi 90 minit berakhir dengan keputusan seri, memaksa England dan Norway berentap dalam masa tambahan.

Pada minit ke-93, Jude Bellingham menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan selepas pantas menyambar bola susulan percubaan Morgan Rogers ditepis penjaga gol Norway, sekali gus memberikan kelebihan buat The Three Lions.

Peluang England untuk menambah jaringan pada minit ke-99 terbatal apabila sepakan penalti yang diberikan susulan kekasaran Oscar Bobb terhadap Djed Spence dibatalkan selepas semakan VAR mengesahkan tiada foul berlaku.

Drama masa tambahan memihak kepada England apabila kemenangan 2-1 ke atas Norway melayakkan mereka ke separuh akhir, sekali gus menanti cabaran antara Argentina atau Switzerland pada 16 Julai.