Piala Dunia: Belanda Mudah Tewaskan Senegal
Piala Dunia
OnsOranje
Advertisements

Belanda memulakan kempen kumpulan A Piala Dunia 2022 dengan merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Senegal di Stadium Al Thumama, Doha hari ini.

Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sejak wisel perlawanan ditiup. Belanda paling hampir menjaringkan gol menerusi Steven Bergwijn selepas mendapat umpanan penyerang PSV Eindhoven, Cody Gakpo pada minit keempat tetapi berjaya dinafikan penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy.

Pemain tengah Barcelona, Frenkie De Jong mendapat peluang keemasan meletakkan Oranje di hadapan pada minit ke-19. Tetapi akibat terlalu lama memikirkan cara menewaskan Mendy, benteng pertahanan Lions of Teranga berjaya merampas dan mengeluarkan bola De Jong dari kotak penalti mereka. Kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Advertisements

Selepas rehat separuh masa, kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol. Tetapi tanpa kelibat ayam tambatan Sadio Mane dan Memphis Depay yang direhatkan akibat kecederaan, Senegal dan Belanda bergelut mencari penyudah tajam di depan gol.

Pada minit ke-53, Oranje sekali lagi diberi peluang mendahului menerusi tandukan Virgil van Dijk. Bagaimanapun, penyokong Belanda hampa apabila tandukan bek tengah Liverpool itu melepasi palang gol Senegal.

Terdesak, Oranje yang dibimbing jurulatih veteran Louis van Gaal memasukkan Depay menggantikan Vincent Janssen pada minit ke-62. Tetapi Lions of Teranga hampir memecah kebuntuan menerusi percubaan tepat Boulaye Dia sekitar minit ke-65. Bagaimanapun, percubaannya itu dinafikan penjaga gol Andries Noppert.

Advertisements

Senegal terus dirundung malang apabila Cheikhou Kouyate terpaksa diusung keluar selepas mengalami kecederaan serius semasa berebut bola dengan De Jong. Melihat kepada reaksi wajahnya, bekas pemain West Ham itu bagai mengetahui dirinya senasib dengan Mane dan masanya bersama Senegal sudah berakhir.

Noppert terus bekerja keras mengawal gawang Belanda. Kali ini, giliran pemain tengah Everton Idrissa Gueye menerusi satu sepakan kencang pada minit ke-73. Bagaimanapun, percubaan tersebut berjaya dinafikan penjaga gol Heerenveen itu.

Dengan perlawanan berada di penghujung, Gakpo menanduk masuk hantaran jauh De Jong untuk gol pertama perlawanan pada minit ke-85. Gol tersebut juga merupakan percubaan pertama pasukan yang menduduki rangking kelapan dunia itu.

Advertisements

Tersentak, Senegal yang menduduki kedudukan ke-18 rangking FIFA cuba menyamakan kedudukan. Gueye sekali lagi menguji kecekapan Noppert pada minit ke-86 menerusi percubaan dari luar kotak penalti tetapi berjaya ditepis keluar.

Hasrat Lions of Teranga menyamakan kedudukan sekali lagi tidak kesampaian. Kealpaan mereka menyerang Belanda mengakibatkan bekas pemain tengah Everton, Davy Klaassen mudah menewaskan Mendy pada minit ke-98 untuk kemenangan 2-0 Oranje.

Dengan keputusan ini, Belanda menduduki tangga kedua kumpulan A di belakang Ecuador. Oranje akan turun menentang pasukan Amerika Selatan itu pada tengah malam 26 November. Manakala Senegal berdepan tuan rumah Qatar pada 25 November.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram