Piala Dunia: Costa Rica Cipta Kejutan Tewaskan Jepun
Piala Dunia
ITV Sport
Advertisements

Costa Rica mencipta kejutan dengan menundukkan pasukan gergasi Asia, Jepun dalam perlawanan kedua Kumpulan E Piala Dunia 2022 di Stadium Ahmad bin Ali hari ini.

Babak pertama menyaksikan Samurai Biru mengasak Los Ticos sejak wisel ditiup. Dengan Jepun menduduki ranking ke-24 dunia berbanding Costa Rica (ranking ke-31), kualiti Jepun sudah terserlah terutama semasa menyerang. Bukan sekali benteng Costa Rica diuji dengan hantaran-hantaran merbahaya tetapi gagal disudahkan oleh trio Ritsu Doan, Ayase Ueda dan Yuki Soma.

Di sebalik tekanan yang dikenakan Jepun, barisan serangan Costa Rica diketuai Joel Campbell mula menguji pertahanan Samurai Biru menerusi percubaan pada minit ke-35. Bagaimanapun, percubaan penyerang Leon itu hanya melepasi gawang Jepun yang dikawal Shuichi Gonda.

Advertisements

Tiga minit selepas itu, Doan yang beraksi bersama Freiburg melepaskan rembatan dari penjuru hujung pertahanan Los Ticos. Jika tidak kerana hadangan yang dibuat pemain tengah Yeltsin Tejeda, sudah pasti rembatan pemain Jepun itu dapat menewaskan penjaga gol Keylor Navas untuk gol pertama perlawanan. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, jurulatih Jepun Hajime Moriyasu memasukkan Takuma Asano dan Hiroki Ito menggantikan Yuto Nagatomo dan Ueda. Seperti perlawanan menentang Jerman tempoh hari, Asano menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Costa Rica dan hampir menjaringkan gol pada minit ke-46. Bagaimanapun, cubaan penyerang Bochum itu dinafikan Navas.

Pada minit ke-50, Jepun menguji lagi gawang Navas sebanyak dua kali berturut-turut menerusi Ko Itakura dan Wataru Endo. Kedua-duanya mencuba nasib dengan rembatan ke arah pintu gol Costa Rica dengan percubaan pemain tengah VfB Stuttgart itu melepasi palang gol.

Advertisements

Costa Rica yang dilihat gemar bertahan selepas dibolosi tujuh gol oleh Sepanyol beberapa hari lepas sekali-sekala mencari peluang melancarkan serangan balas. Dan hasilnya, mereka mendahului Samurai Biru menerusi sepakan bek kanan Keysher Fuller. Itu juga merupakan percubaan pertama ke arah gol Costa Rica dalam Piala Dunia 2022.

Terdesak, Moriyasu memasukkan penyerang Liverpool, Takumi Minamino bagi membantu Asano menggempur benteng pertahanan Los Ticos. Jepun hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-88 selepas berlakunya perebutan bola dalam kotak penalti Costa Rica sebelum berjaya ditangkap oleh Navas.

Jepun terus menggempur kubu Los Ticos tetapi kemenangan 1-0 mereka kekal sehingga tamat perlawanan. Dengan keputusan ini, Jepun, Sepanyol dan Costa Rica mempunyai tiga mata dengan Jerman masih belum merekodkan sebarang mata. Kedudukan kumpulan dijangka berubah dengan Sepanyol dan Jerman bakal bertemu pada awal pagi besok.

Advertisements

Yang pasti, Jepun perlu mengalahkan Sepanyol pada awal pagi 2 Disember sekiranya mahu layak ke pusingan kedua Piala Dunia. Manakala Costa Rica pula perlu berdepan tentangan sengit Jerman pada hari yang sama jika mahu layak ke pusingan seterusnya.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram