Hasrat Jordan dan 4 buah lagi negara untuk layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia FIFA lebur.
Kejohanan Piala Dunia 2026 bakal memasuki aksi ke-3 peringkat kumpulan pada awal pagi Khamis ini setelah 48 negara melengkapkan dua perlawanan pertama dengan beberapa pasukan sudah pun mengesahkan slot ke pusingan kalah mati.
Malah, ada juga negara-negara yang bernasib malang apabila mengalami dua kekalahan berturut-turut di peringkat kumpulan, sekaligus automatik meranapkan misi besar mereka layak ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026.
Terdapat 5 buah negara yang sudah sah tersingkir di peringkat kumpulan meskipun masih berbaki satu lagi perlawanan iaitu Haiti, Tunisia, Turki, Jordan dan Panama selepas kesemua mereka mencatatkan dua kekalahan baru-baru ini.
Haiti kalah tipis kepada Scotland sebelum akur dibelasah Brazil ketika aksi kumpulan C manakala Turki mempamerkan persembahan longlai meskipun diangkat sebagai pasukan ‘underdog’ apabila tewas dua kali tanpa sebarang jaringan tercipta.
Kekecewaan jelas terpancar di kem Tunisia apabila negara Afrika tersebut mengharungi kempen Piala Dunia terburuk mereka selepas kecundang 1-5 kepada Belanda dan dibelasah Jepun 0-4 tatkala berdepan isu membabitkan jurulatih.
Sementara itu, Jordan dan Panama menjadi pasukan terbaru yang terkandas di peringkat kumpulan setelah negara dari Asia dan Amerika Utara itu turut mencatat dua kekalahan dalam kedua-dua aksi yang ditempuh di kumpulan masing-masing.
Walaupun sudah sah tersingkir, aksi terakhir peringkat kumpulan nanti masih menjadi keutamaan kesemua 5 pasukan ini dengan misi penting menutup kempen Piala Dunia 2026 dengan kemenangan untuk dibawa pulang.