Pengendali Tunisia, Sabri Lamouchi menjadi jurulatih pertama yang dipecat selepas hanya satu perlawanan Piala Dunia FIFA 2026.
Berita pemecatan ini dilaporkan oleh wartawan terkemuka, Romain Molina yang memaklumkan bahawa Tunisia mengambil keputusan untuk memecat Sabri Lamouchi sebaik kekalahan 1-5 di tangan Sweden dalam aksi pertama Piala Dunia 2026.
“Ini pengakhiran buat Sabri Lamouchi sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Tunisia,” lapor Romain Molina di laman X.
Laporan dari media antarabangsa seperti Daily Mail turut memaklumkan perkara yang sama dengan timbul dakwaan berlaku pergaduhan besar di kem Tunisia sejurus selepas tamatnya perlawanan berdepan Sweden pada pagi Isnin.
Para peminat masih menantikan kenyataan terkini dari pihak Persekutuan Bola Sepak Tunisia mengenai berita pemecatan ini meskipun difahamkan mesyuarat tergempar sedang berjalan untuk membahas masa depan Sabri Lamouchi ini.
Berita ini sememangnya mengejutkan ramai peminat ketika mana Tunisia kini masih sedang berjuang untuk merebut tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia walaupun mengalami kekalahan besar dalam aksi pembukaan mereka.
Sabri Lamouchi yang dilantik pada 14 Januari lalu bakal menjadi jurulatih pertama yang dipecat di Piala Dunia 2026 ini setelah membimbing Tunisia hanya 5 perlawanan sahaja dengan rekod satu kemenangan, satu keputusan seri dan 3 kekalahan.