Piala Dunia FIFA: Argentina Lepasi Halangan Hebat Austria
MakanBola
Seleccion Argentina

Argentina tampil bertenaga untuk menewaskan Austria dalam perlawanan kedua kumpulan J Piala Dunia FIFA 2026 pada awal pagi Selasa.

Rentak cemerlang diteruskan Argentina di pentas Piala Dunia FIFA 2026 ini setelah berjaya merekodkan kemenangan kedua di peringkat kumpulan hasil kejayaan menumpaskan Austria 2-0 yang dihiasi memori indah buat Lionel Messi.

Magis Lionel Messi sekali lagi menjadi sandaran Argentina untuk memburu jaringan bersama Lautaro Martinez manakala Austria tampil dengan barisan terbaik diketuai David Alaba di benteng pertahanan serta penyerang, Marcel Sabitzer.

Seawal minit ke-8, Argentina berpeluang untuk memecah kebuntuan apabila dihadiahkan tendangan penalti selepas Lautaro Martinez dikasari pertahanan lawan, namun sepakan Lionel Messi sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Austria.

Kehampaan itu ditebus selang 30 minit kemudian oleh Lionel Messi dengan gol pembukaan selepas umpanan cantik Facundo Medina disudahkan bekas bintang Barcelona itu dengan sempurna untuk jaringan ke-17 di pentas Piala Dunia.

Sebelum perlawanan berakhir, Lionel Messi sekali lagi membuktikan bisa dengan jaringan kedua setelah bijak melepasi kawalan pemain dan penjaga gol Austria sebelum melepaskan rembatan yang terus menerjah ke dalam gawang.

Aksi 90 minit di Arlington, USA berakhir dengan kemenangan 2-0 buat Argentina sekali gus membawa juara bertahan itu menerajui kedudukan kumpulan J dengan 6 mata.

Perlawanan terakhir peringkat J nanti akan menyaksikan Argentina bertemu negara Asia, Jordan sementara Austria bakal turun menentang Algeria pada 28 Jun hadapan.