Argentina membuka kempen mempertahankan kejuaraan Piala Dunia FIFA dengan langkah kanan apabila membelasah Algeria hasil 3 jaringan Lionel Messi.
Kemenangan 3-0 berjaya direkodkan oleh Argentina hasil persembahan dominan oleh juara bertahan ini, membuatkan Algeria akur tumbang di tangan pasukan terbaik ini ditambah pula dengan bisa Lionel Messi pada aksi ini.
Nama kapten Argentina, Lionel Messi menjadi tumpuan peminat selepas tonggak Inter Miami itu bakal membuat penampilan ke-6 di pentas Piala Dunia manakala Algeria turun tanpa pemain sensasi, Riyad Mahrez yang bermula di bangku simpanan.
Suasana di stadium menjadi gegak-gempita seketika apabila Lionel Messi berjaya membolosi pintu gol Algeria seawal minit ke-17 setelah rembatan kencang dari luar kotak penalti gagal ditepis kemas oleh penjaga gawang, Luca Zidane.
Dua lagi jaringan Lionel Messi disumbangkan pada babak kedua sekali gus melengkapkan hatrik dan permulaan cemerlang buat pasukan Argentina di kempen Piala Dunia 2026 kali ini.
Aksi di Stadium Arrowhead, Kansas City ini berakhir dengan kemenangan 3-0 memihak Argentina.
Saingan kumpulan J dijadualkan kembali bersambung pada 23 Jun dengan Argentina bakal bertemu Austria sementara Algeria akan turun menentang wakil dari benua Asia, Jordan pada hari yang sama.