Argentina Enggan Igauan Piala Dunia 2022 Berulang
MakanBola
Argentina Seleccion

Skuad kebangsaan Argentina, selaku juara bertahan Piala Dunia 2022, tidak mahu episod duka yang menghantui kempen mereka di Qatar berulang apabila memulakan cabaran Piala Dunia 2026 dengan menentang Algeria di Kansas City pada Selasa.

Pada Piala Dunia 2022 di Qatar, Argentina dikejutkan dengan kekalahan kepada Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan mereka sebelum bangkit mempamerkan aksi cemerlang untuk melakar sejarah muncul juara dunia buat kali ketiga.

Pengendali Argentina, Lionel Scaloni, mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang rendah mana-mana lawan dan sentiasa menghormati setiap pasukan yang dihadapi bagi mengelakkan igauan kekalahan kepada Arab Saudi daripada berulang.

“Mereka (Algeria) adalah pasukan yang baik yang perlu diberi perhatian dan dihormati. Mereka pasti akan menyukarkan keadaan buat kami,” jelas Scaloni seperti yang dilapor Wionews.

Mengimbau pengalaman Argentina pada Piala Dunia sebelum ini, Scaloni menegaskan bahawa walaupun perlawanan pembukaan penting, ia bukan penentu kepada keseluruhan perjalanan sesebuah pasukan dalam kejohanan tersebut.

“Kami mempunyai keyakinan bahawa kempen ini tidak berakhir hanya kerana keputusan dalam perlawanan pertama,” katanya lagi.

Scaloni turut memberikan perkembangan positif mengenai tahap kecergasan pemainnya menjelang perlawanan tersebut. Penyerang Julian Alvarez telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali dan kini bersedia untuk diturunkan, manakala penjaga gol Emiliano Martínez dijangka berada dalam kesebelasan utama selepas pulih daripada kecederaan patah jari yang dialaminya ketika membantu Aston Villa menjuarai UEFA Europa League.

Bagaimanapun, pertahanan Nicolas Tagliafico masih diragui untuk beraksi kerana masih bergelut dengan kecederaan betis. Untuk edisi kali ini, Argentina diundi dalam Kumpulan J bersama Austria, Algeria dan Jordan.