Croatia terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Panama dalam aksi kedua Kumpulan L.
Selepas England diikat Ghana tanpa jaringan dalam satu lagi aksi kumpulan, ini peluang buat Croatia dan Panama memberi tekanan kepada kedua-dua pasukan itu dengan kemenangan.
Jeneral tengah Croatia, Luka Modric membuat penampilan ke-200 di peringkat antarabangsa. Jose Fajardo mengetuai jentera serangan Panama.
Separuh masa pertama menyaksikan Panama tidak gentar memberi cabaran kepada Croatia meskipun berstatus pasukan ke-39 dunia.
Pasukan Amerika Tengah itu hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-23 menerusi pemain sayap FC Juarez, Jose Luis Rodriguez. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Dominik Livakovic sebelum bola terkena palang.
Croatia juga hampir membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah Como, Martin Baturina. Baturina kurang bernasib baik kerana percubaannya dinafikan Orlando Mosquera pada minit akhir babak pertama.
Kedua-dua pasukan berusaha memecah kebuntuan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, jurulatih Croatia, Zlatko Dalic membuat dua pertukaran dengan memasukkan Andrej Kramaric dan Ante Budimir. Kemasukan kedua-dua pemain itu bertujuan menambah sengat di bahagian serangan Croatia.
Percaturan Dalic membuahkan hasil apabila Budimir meledakkan gol pada minit ke-56. Hantaran Josip Stanisic pantas disudahkan penyerang Osasuna itu yang menewaskan Mosquera.
Tersentak, Panama bangkit memperkemaskan rentak. Pemain Besiktas, Amir Murillo hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-68 tetapi dua kali dinafikan Livakovic.
Panama terus memberi tekanan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Croatia kini di tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata.
Panama pula menjadi pasukan terbaru mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Dunia selepas tewas dua perlawanan. Selepas ini, Panama akan menentang England pada 28 Jun dengan Croatia menentang Ghana pada hari sama.
Sofascore memilih Budimir sebagai pemain terbaik perlawanan. Ini selepas penyerang Osasuna itu meraih 7.9 mata.