Piala Dunia FIFA: England ‘Cemas’ Sebelum Singkirkan Mexico
MakanBola
FIFA WORLD CUP

England hampir tersingkir di pentas Piala Dunia FIFA sebelum Harry Kane membantu The Three Lions menyingkirkan Mexico pada pagi Isnin.

Pertarungan amat sengit di pusingan 16 terbaik apabila The Three Lions dipaksa bekerja keras sebelum Harry Kane muncul wira dengan gol ketiga permainan memaksa perjalanan Mexico terhenti di tangan juara Piala Dunia 1966 itu.

Sentuhan Harry Kane dan Jude Bellingham menjadi taruhan England untuk mengemudi jentera serangan pasukan sementara Mexico menurunkan Raul Jimenez & penyerang Al-Qadsiah, Julian Quinones bagi merobek gawang Three Lions.

Pada minit ke-36 & ke-38 permainan, Jude Bellingham memberikan kegembiraan kepada kem pasukan beliau dengan menghasilkan dua gol pantas selepas berjaya menewaskan penjaga gol Mexico, R.Rangel.

J.Quinones merapatkan jurang gol perlawanan pada penghujung separuh masa pertama sekali gus memastikan Mexico masih berpeluang mara ke pusingan seterusnya. Separuh masa pertama tamat dengan keputusan 2-1 memihak pasukan England.

Memasuki babak kedua aksi, penalti Harry Kane memberikan jaringan penting buat The Three Lions bagi mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia FIFA 2026 sebelum Raul Jimenez merapatkan jurang kembali pada minit ke-69 perlawanan.

Pertarungan epik 90 minit di Mexico City berakhir dengan kemenangan tipis 3-2 memihak England meskipun pasukan tuan rumah tampak melancarkan beberapa percubaan berbahaya pada 11 minit masa kecederaan babak kedua.

Menanti England di suku akhir nanti adalah Norway yang mara buat kali pertama ke pusingan tersebut pada pagi Ahad, 12 Julai 2026 setelah The Vikings berjaya menyingkirkan juara dunia 5 kali, Brazil 2-1 dalam satu lagi pertembungan pada pagi Isnin.