England hampir tersingkir di pentas Piala Dunia FIFA sebelum kebangkitan di lewat permainan membantu The Three Lions bangkit menyingkirkan DR Congo pada awal pagi Khamis.
Pertarungan amat sengit di pusingan 16 terbaik apabila England dipaksa bekerja keras sebelum Harry Kane muncul wira dengan dua gol di lewat permainan memaksa perjalanan indah DR Congo terhenti di tangan juara edisi 1966 itu.
Sentuhan Harry Kane dan Marcus Rashford menjadi taruhan England untuk mengemudi jentera serangan pasukan sementara DR Congo menurunkan 3 tonggak yang beraksi di EPL iaitu Yoanne Wissa, Aaron Wan-Bissaka serta Arthur Masuaku.
Seawal minit ke-7 permainan, DR Congo berjaya mengejutkan The Three Lions dengan jaringan pembukaan hasil rembatan kencang Brian Cipenga dari sudut yang sukar sekali gus menewaskan Jordan Pickford di pintu gol England.
Peluang terbaik England hadir pada pertengahan babak pertama apabila tandukan bebas pemain tengah, Jude Bellingham berjaya dinafikan oleh penjaga gol DR Congo, Lionel Mpasi Nzau untuk keputusan 1-0 kekal hingga rehat.
Usaha tanpa henti oleh anak didik Thomas Tuchel akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang berbisa, Harry Kane cemerlang menanduk masuk jaringan penyamaan di minit ke-75, membantu England kembali mengikat kedudukan 1-1.
Harry Kane sekali lagi muncul dengan gol kemenangan pada minit ke-86 selepas rambatan kencang bintang Bayern Munich itu gagal diselamatkan oleh penjaga gol DR Congo sekali gus menghilangkan debar para peminat England.
Pertarungan 90 minit berakhir dengan kemenangan tipis 2-1 memihak England.
Menanti England di pusingan 16 terbaik nanti adalah tuan rumah bersama, Mexico pada pagi Isnin, 6 Julai 2026 setelah El Tri berjaya menyingkirkan Ecuador 2-0 dalam satu lagi pertembungan pada Rabu.