Hasrat Panama meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan L musnah apabila dimalukan Ghana 1-0.
Panama dilihat pasukan pilihan kerana menduduki ranking ke-35 dunia. Meskipun menduduki ranking ke-72 dunia, Ghana memiliki beberapa pemain bintang termasuk pemain sayap Manchester City, Antoine Semenyo.
Ghana tetap tampil mantap meskipun tanpa kelibat bekas pemain tengah Arsenal, Thomas Partey. Penyerang veteran, Cecilio Waterman menjadi pilihan Thomas Christiansen mengetuai serangan Panama.
Waterman hampir merobek gawang Ghana seawal minit kedua. Walau bagaimanapun, percubaan penyerang berusia 35 tahun itu dinafikan penjaga gol St. Gallen, Lawrence Ati Zigi.
Tiga minit selepas itu, giliran Cesar Blackman mencemaskan benteng Ghana. Percubaan pemain Slovan Bratislava itu berjaya dihalang sebelum bola dikeluarkan daripada kawasan pasukan Afrika itu.
Formasi 3-4-3 yang digunakan Christiansen dilihat menyekat usaha Ghana merobek gawang Panama. Kedua-dua pasukan buntu mencipta gol dengan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Queiroz terpaksa membuat pertukaran penjaga gol dengan memasukkan Benjamin Asare. Ini selepas Ati Zigi tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan.
Kemasukan pemain Coventry City, Brandon Thomas-Asante dan pemain Leicester City, Abdul Fatawu mula menambah sengat serangan Ghana.
Ini memaksa benteng Panama diketuai Jiovanny Ramos bekerja keras memastikan gawang mereka tidak dibolosi. Pada akhirnya, Ghana meraih gol kemenangan dramatik menerusi Caleb Yirenkyi.
Sofascore memilih Asare sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.0. Andres Andrare pula dipilih pemain terbaik Panama dengan markah 7.8.
Selepas ini, England akan menentang Ghana pada 24 Jun. Panama mula berharap dapat mencipta kejutan ke atas Croatia pada hari yang sama.