Piala Dunia FIFA: Hujan Lebat Tak Halang Perancis Benam Iraq
MakanBola
Iraq NT

Aksi Piala Dunia FIFA diuji dengan cuaca hujan lebat namun itu tidak menjadi penghalang buat Perancis menewaskan Iraq pada pagi Selasa.

Kemenangan bergaya 3-0 Perancis ke atas Iraq berlangsung dalam aksi yang penuh mencabar apabila perlawanan terpaksa ditangguhkan untuk sementara waktu sebelum 3 mata menjadi milik juara Piala Dunia dua kali itu.

Perancis melakukan 3 pertukaran di dalam kesebelasan utama dengan Lucas Digne, Manu Kone dan Bradley Barcola bermula terlebih dahulu sementara Aymen Hussain serta Iqbal Zidane kekal menjadi sandaran penting buat Iraq kali ini.

Ketajaman penyudah Kylian Mbappe sekali lagi berjaya membantu Perancis mencipta jaringan pembukaan seawal minit ke-14 setelah rembatan kencang penyerang Real Madrid itu terus menewaskan penjaga gawang Iraq, Ahmed Basil.

Aksi di babak kedua terpaksa ditangguhkan seketika atas faktor cuaca hujan lebat serta ribut petir yang menyaksikan perlawanan terhenti sekitar dua jam sebelum kembali bersambung apabila mendapat kebenaran daripada pihak komisioner.

Sebaik separuh masa kedua bersambung, Perancis tidak menunggu lama untuk menggandakan kelebihan pada minit ke-55 selepas kesilapan Zaid Tahseen dan Ahmed Basil membuka peluang buat penyerang itu meledak gol kedua.

Gawang Iraq bocor buat kali ketiga, kali ini berpunca daripada kelekaan barisan benteng pertahanan yang membenarkan pemain-pemain Perancis mencuri bola sebelum Ousmane Dembele menyudahkan gerakan dengan jaringan.

Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan dengan Perancis berjaya mencatat kemenangan kedua di peringkat kumpulan I dan kekal menerajui carta kedudukan selepas mengutip 6 mata maksimum dari dua perlawanan.

Perlawanan terakhir peringkat kunpulan I bakal menemukan Perancis dan Norwar sementara Iraq dijadualkan menentang Senegal dengan kedua-dua aksi akan berlangsung pada 27 Jun hadapan.