Croatia berjaya memintas Ghana untuk muncul naib juara kumpulan L Piala Dunia FIFA selepas berjaya mencatatkan kemenangan ke atas negara Afrika itu pada awal pagi Ahad.
Ghana yang telah pun mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati terpaksa akur menelan kekalahan 1-2 di tangan Croatia dalam aksi terakhir kumpulan sekali gus membantu Kockasti mara selaku naib juara kumpulan L dengan 6 mata.
Gandingan antara Luka Modric dan Mateo Kovacic menjadi taruhan Zlatko Dalic bagi memimpin jentera tengah pasukan Croatia manakala Ghana pula menurunkan Antoine Semenyo serta Jordan Ayew untuk memburu jaringan.
Aksi berlangsung seimbang sebelum pemain sayap Inter Milan, Petar Sucic meletakkan Croatia di hadapan menerusi satu rembatan leret dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Ghana, Benjamin Asare di minit ke-31.
Ghana berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-73 selepas tendangan percuma Ernest Nuamah disambar pantas oleh Derrick Luckassen untuk gol pertama The Black Stars dan mengikat Croatia 1-1 ketika aksi menuju minit akhir.
Tandukan pemain tengah, Nikola Vlasic selang 10 minit kemudian berjaya menceriakan pasukan Croatia apabila jaringan kemenangan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus membawa mereka layak ke pusingan kalah mati.
Kemenangan 2-1 Croatia ini meletakkan mereka di tangga kedua kumpulan I, satu mata di belakang England manakala Ghana terpaksa akur berada di kedudukan ke-3 meskipun turut berjaya mara ke pusingan 32 terbaik nanti.