Pasukan gergasi Asia, Korea Selatan bangkit meraih tiga mata penuh dalam Kumpulan A Piala Dunia 2026 apabila menewaskan Czechia di Guadalajara, Mexico.
Selepas Mexico meraih kemenangan bergaya ke atas Afrika Selatan, Pahlawan Taeguk dan Czechia mengintai kemenangan pertama dalam Kumpulan A.
Bekas bintang Tottenham Hotspur, Son Heung-min mengetuai jentera serangan Korea Selatan. Jeneral tengah West Ham United, Tomas Soucek diberi tugas mengawal jentera tengah Czechia.
Formasi 3-4-3 yang digunakan Czechia diharap menyekat jentera serangan Korea Selatan diketuai Heung-min, Lee Kang-in dan Lee Jae-sung.
Meskipun begitu, taktik tekanan tinggi yang digunakan Hong Myung-bo membantu pasukan gergasi Asia itu menguji benteng Czechia diketuai bek tengah Wolverhampton Wanderers, Ladislav Krejci.
Kang-in hampir merobek gawang Czechia menerusi percubaan jarak jauh pada minit ke-12. Malangnya, percubaan pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG) itu gagal membuahkan hasil.
Heung-min kemudiannya hampir mencemaskan gawang pasukan ke-38 dunia itu menerusi percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-38. Pemain Los Angeles FC (LAFC) itu hampa apabila percubaannya melepasi palang gol.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Korea Selatan terus meningkatkan asakan untuk memburu gol pendahuluan. Pemain tengah Feyenoord, Hwang In-beom hampir melakukannya pada minit ke-49 tetapi percubaannya dihalang.
Tatkala Korea Selatan mengasak, Czechia mendahului pada minit ke-59 menerusi Krejci. Beliau menanduk hantaran bola Vladimir Coufal yang menewaskan penjaga gol Korea Selatan, Kim Seung-gyu.
Tersentak, Myung-bo memasukkan rakan sepasukan Krejci di Wolves, Hwang Hee-chan sebagai pemain gantian. Jurulatih Czechia, Miroslav Koubek memasukkan tiga pemain termasuk Tomas Chory menggantikan penyerang Bayer Leverkusen, Patrik Schick.
Gol penyamaan yang dicari-cari Korea Selatan hadir pada minit ke-67 menerusi In-beom. Pemain tengah Korea Selatan itu melambungkan bola melepasi penjaga gol Czechia, Matej Kovar sebelum melepasi garisan gol.
Soucek menyangka telah menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-77. Pemain tinggi lampai Czechia itu hampa apabila golnya dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.
Beberapa minit selepas itu, penyerang Besiktas, Oh Hyeon-gyu muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-80. Keputusan ini menyaksikan Korea Selatan dan Mexico masing-masing memiliki tiga mata dalam Kumpulan A.
Sofascore memilih In-beom sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.7. Krejci menjadi pemain terbaik Czechia dengan markah 7.1.
Selepas ini, Korea Selatan akan menentang Mexico pada 19 Jun. Czechia pula membawa misi wajib menang apabila bertemu Afrika Selatan pada hari yang sama.