Mesir bangkit meraih keputusan menang 3-1 dengan New Zealand dalam aksi kedua kedua-dua pasukan bagi Kumpulan G Piala Dunia 2026.
New Zealand membariskan Tim Payne di bahagian pertahanan dan M.Crocombe sebagai penjaga gol.
Mesir yang dibimbing Hossam Hassan pula turut mempertaruhkan kapten dan bekas penyerang , M.Salah sebagai sandaran ayam tambatan.
Pasukan Oceania itu mencipta kejutan dengan mendahului seawal minit ke-15 menerusi Finn Surman. Finn tenang menyudahkan bantuan jaringan oleh Tim Payne yang menewaskan penjaga gol Mesir, Mostafa Shobeir.
Mesir kembali mempertajamkan rentak dan mula menekan benteng New Zealand menerusi Mo Salah dan Omar Marmoush namun tiada jaringan dapat ditemui.
Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, permainan semakin rancak dengan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol.
Mesir akhirnya mencetak gol penyaman pada minit ke-58 menerusi Mostafa Ziko. Beliau yang mewakili Pyramids di negara sendiri menyudahkan hantaran M.Hany yang menembusi gawang Crocombe.
Mesir tidak putus asa dan terus berusaha memburu gol tambahan. Ziko kemudiannya menjadi pencipta gol dengan membuat hantaran yang disudahkan Mo Salah pada minit ke-67.
Pemain gantian, Trezequet menutup kebangkitan Mesir dengan meledak gol ketiga pada penghujung separuh masa kedua sekaligus memastikan kemenangan pertama skuad Mesir dalam Piala Dunia FIFA 2026.
Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Mesir menakluki takhta dalam Kumpulan G selepas 2 aksi.
Aksi seterusnya kumpulan G selepas ini bakal menyaksikan Mesir turun berentap bersama negara Asia, Iran sementara New Zealand pula berdepan cabaran Belgium dengan kedua-dua perlawanan akan berlangsung pada 27 Jun ini.