Mexico meneruskan kempen Piala Dunia FIFA 2026 dengan kemenangan tipis ke atas Korea Selatan dalam aksi pada pagi Jumaat.
Aksi kedua buat kedua-dua pasukan bagi Piala Dunia FIFA 2026 menyaksikan kemenangan 1-0 memihak Mexico di hadapan lebih puluhan ribu penyokong selepas tampil cemerlang jinakkan Afrika Selatan pada perlawanan pembukaan minggu lepas.
Jentera serangan Mexico ditunjangi oleh penyerang Fulham, Raul Jimenez bagi meledak kubu lawan manakala Korea Selatan turun dengan formasi 3-4-3 sambil menjadikan bekas bintang Spurs, Son Heung- min sebagai penyerang.
Tuan rumah dilihat menguasai permainan dengan melakukan lambakan peluang percubaan berbahaya pada separuh masa pertama namun ketangkasan penjaga gol Korea Selatan, Kim Seung-gyu harus diberi pujian.
Korea Selatan turut melepaskan percubaan-percubaan menarik menerusi pemain-pemain serangan seperti Lee Kang-In dan Son Heung-min namun gagal menerjah jaring Mexico.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan terikat seri tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.
Bersambung babak kedua, Mexico hanya memerlukan 5 minit untuk memecahkan kebuntuan jaringan selepas pemain tengah CD Guadalajara memberikan gol pembukaan aksi pada minit ke-50. Jaringan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa kedua meskipun kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan menerusi ayam tambatan negara masing-masing.
Kemenangan ini memastikan Mexico muncul sebagai negara pertama yang layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia FIFA 2026.
Mexico akan menutup kempen peringkat Kumpulan A dengan menentang Republik Czech, sementara Korea Selatan dijadualkan bertemu Afrika Selatan pada perlawanan terakhir kumpulan di Piala Dunia FIFA 2026.