Norway terus memburu slot juara Kumpulan I apabila menewaskan Senegal di Stadium MetLife.
Selepas Perancis meraih kemenangan 3-0 ke atas Iraq, Norway tahu mereka perlu menang jika mahu mengiringi Les Bleus ke pusingan seterusnya.
Peledak Manchester City, Erling Haaland terus menjadi sandaran gol jurulatih Norway, Stale Solbakken. Bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane mengetuai serangan Singa Teranga.
Norway hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi percubaan pemain pertahanan Brentford, Kristoffer Ajer. Walau bagaimanapun, percubaan beliau dinafikan bekas penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy.
Percubaan itu menjadi pendorong Norway untuk terus menyerang menerusi gandingan Haaland, Antonio Nusa dan Alexander Sorloth.
Gol yang dicari-cari anak buah Solbakken akhirnya muncul pada minit ke-43. Marcus Pedersen memanfaatkan kesilapan Kalidou Koulibaly untuk meletakkan Norway di hadapan.
Gol tersebut memastikan Norway memiliki kelebihan satu gol sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, Norway terus bernafsu memburu gol tambahan. Hasilnya, Haaland menyudahkan hantaran Martin Odegaard yang menewaskan Mendy pada minit ke-48.
Senegal kemudiannya mendapat talian hayat menerusi pemain sayap Crystal Palace, Ismaila Sarr lima minit selepas itu. Haaland kembali memulihkan kelebihan dua gol Norway dengan gol pada minit ke-58.
Senegal berusaha merapatkan jurang menerusi Sarr pada minit ke-93. Walau bagaimanapun, keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Sofascore memilih Haaland dan Sarr sebagai pemain terbaik perlawanan. Ini kerana kedua-dua pemain mendapat markah yang sama iaitu 8.6.
Keputusan ini menyaksikan Norway dan Perancis masing-masing menduduki tangga pertama dan kedua Kumpulan I. Senegal pula di tangga ketiga tanpa sebarang mata.
Selepas ini, Norway akan menentang Perancis pada 27 Jun. Senegal dan Iraq pula berpeluang menutup kempen kumpulan dengan kemenangan apabila berentap pada hari yang sama.