Seorang pemain Qatar perlu menjalani penggantungan lima perlawanan susulan insiden terjahan keras ke atas pemain Kanada, Ismael Kone.
Al-Jazeera melaporkan Assim Madibo dikenakan hukuman tersebut oleh Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 24 Jun lalu.
Meskipun begitu, pemain pertahanan berusia 29 tahun itu masih berpeluang membuat rayuan untuk mengurangkan jumlah penggantungan perlawanan yang diterima.
Nama Assim menjadi perhatian selepas insiden terjahan keras beliau ke atas Kone baru-baru ini. Insiden tersebut menyebabkan bekas pemain tengah Watford itu mengalami kecederaan kaki yang serius.
Susulan itu, Assim kemudiannya dilayangkan kad merah atas apa yang berlaku. Beliau merasa kesal dengan apa yang berlaku dan telah memohon maaf kepada Kone di bilik persalinan.
Assim juga menjadi sebahagian daripada rombongan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) yang melawat pemain tengah Sassuolo itu di hospital selepas selesai menjalani pembedahan.