Hasrat Czechia untuk mencatatkan kemenangan sulung di Piala Dunia FIFA terkubur setelah hanya seri bertemu Afrika Selatan dalam perlawanan kedua kumpulan A pada awal pagi Jumaat.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi menebus kembali kekalahan ketika aksi pembukaan Piala Dunia FIFA minggu lalu namun hasrat Czechia dan Afrika Selatan terpaksa akur terikat 1-1 serta masih berpeluang ke pusingan kalah mati.
Penyerang Bayer Leverkusen, Patrick Schick memimpin jentera serangan Czechia bersama Adam Hlozek sementara Afrika Selatan pula melakukan rombakan kecil dalam kesebelasan utama dengan Ronwen Williams kekal memakai lilitan kapten.
Gawang Afrika Selatan bolos seawal minit ke-6 permainan selepas pemain tengah, Michael Sadilek melepaskan percubaan kencang jarak dekat untuk menewaskan Ronwen Williams di pintu gol sekali gus meletakkan Czechia di hadapan.
Jaringan penyamaan nyaris menjadi milik Afrika Selatan di penghujung babak yang pertama namun aksi kebal oleh benteng pertahanan Czechia membuatkan tuan rumah edisi 2010 tersebut kembali ke bilik persalinan dengan kekecewaan.
Gol yang dinantikan oleh Afrika Selatan tiba di minit ke-83 selepas Teboho Mokoena menyudahkan sepakan penalti yang diberikan akibat bola terkena tangan pemain Czechia, Pavel Sulc ketika permainan berbaki 10 minit lagi untuk dimainkan.
Aksi di Stadium Mercedes-Benz berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Selepas ini, Czechia bakal berdepan pasukan tuan rumah, Mexico sementara Afrika Selatan pula akan menghadapi cabaran negara Asia, Korea Selatan di perlawanan akhir peringkat kumpulan A, dijadualkan pada 25 Jun hadapan.