Piala Dunia FIFA: Perancis Belasah ‘Skuad B’ Norway
MakanBola
Equipe de France

Perancis berjaya muncul selaku juara kumpulan I Piala Dunia FIFA selepas meleburkan cabaran dan impian Norway dalam aksi pada awal pagi Sabtu.

Kedua-dua pasukan sudah pun mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia FIFA 2026 selepas mengumpul 6 mata, namun kemenangan 4-1 Perancis ke atas Norway membawa juara edisi 2018 ini muncul selaku juara kumpulan I

Kesebelasan terbaik diturunkan oleh Perancis dengan Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele perkuat jentera serangan sementara Norway membuat rombakan apabila merehatkan pemain utama seperti Erling Haaland serta Martin Odegaard.

Kualiti jentera serangan Perancis tidak mampu disangkal apabila Ousmane Dembele membuka tirai jaringan buat Les Blues seawal minit ke-7 setelah melepaskan percubaan kencang kaki kanan yang menewaskan penjaga gol, Egil Selvik.

Bisa penyerang PSG itu terus membuatkan pertahanan Norway terbungkam apabila nama beliau sekali lagi terpahat sebagai penjaring pada minit ke-20 hasil penyudah kaki kiri yang membantu Perancis menggandakan kelebihan awal.

Seminit kemudian, Norway sempat merapatkan kedudukan setelah gerakan Thelo Aasgaard berhasil memperdayakan bek Perancis, Dayot Upamecano sebelum melepaskan sepakan leret yang gagal diselamatkan Mike Maignan di pintu gol.

Ousmane Dembele berjaya melengkapkan hatrik pada minit ke-32, sekali lagi berpunca daripada gelecekan di sebelah sayap kanan dan disudahkan sempurna bagi menewaskan pertahanan dan penjaga gol Norway buat kali ke-3.

Norway berpeluang untuk menjaringkan gol kedua pada permulaan babak kedua, namun tendangan penalti penyerang Crystal Palace, Jorgen Strand Larsen ditepis dengan cukup tenang oleh Mike Maignan untuk kedudukan kekal 3-1.

Pemain sayap, Desire Doue menamatkan perlawanan selaku penjaring gol keempat pasukan Perancis menerusi tandukan cantik yang terus menerjah ke gawang Norway ketika mana permainan menanti wisel penamat untuk dibunyikan.

Aksi berakhir dengan kemenangan 4-1 buat Perancis selepas tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan kedua-dua negara hingga tamat perlawanan untuk Les Blues mengakhiri saingan selaku juara kumpulan I manakala Norway di tangga kedua.