Piala Dunia FIFA: Senegal Akhiri Perjuangan Iraq
MakanBola
Equipe du Senegal

Senegal berjaya mencatatkan kemenangan besar ke atas Iraq dalam aksi terakhir kumpulan I Piala Dunia FIFA pada awal pagi Sabtu.

Turun dengan misi wajib menang, Senegal mahu mengintai peluang untuk mara ke pusingan kalah mati dengan kemenangan 5-0 ke atas Iraq tampak menghidupkan sedikit ruang namun bergantung kepada keputusan di aksi lain.

Duo berbisa, Sadio Mane Dan Ismaila Sarr memikul peranan besar untuk memburu jaringan buat pasukan Senegal sementara Iraq pula melakukan rombakan dengan meletakkan peledak berbisa, Aymen Hussain di bangku simpanan.

Gol pembukaan berhasil diperoleh Senegal seawal minit ke-4 permainan apabila pemain tengah, Habib Diarra meletakkan wakil dari Afrika itu di hadapan hasil penyudah sempurna untuk menewaskan penjaga gol Iraq, Ahmed Basil.

Malang menimpa Iraq apabila kehilangan pertahanan, Rebin Sulaka ketika permainan berusia 13 minit setelah pemain Port FC itu melakukan terjahan keras ke atas salah seorang tonggak Senegal dan kekasaran itu dirakamkan VAR.

Ketiadaan tunjang Iraq itu membuatkan gawang The Lion of Mesopotamia ini dibolosi 4 gol pada separuh masa kedua dengan pemain tengah Villareal, Pape Gueye mencipta dua jaringan peribadi masing-masing pada minit ke-59 dan 72.

Bintang Liga Perdana Inggeris (EPL), Ilman Ndiaye dan Ismaila Sarr turut berjaya menembusi gawang Iraq ketika masing-masing mencetak jaringan pada minit ke-56 dan 82 sekali gus menutup perlawanan dengan keputusan 5-0.

Kemenangan ini menamatkan perjalanan Iraq sebagai salah satu wakil Asia di Piala Dunia FIFA 2026 sementara Senegal yang menghuni kedudukan ke-3 kumpulan I perlu menanti keputusan aksi lain sebelum layak ke pusingan kalah mati.