Jaguh Eropah, Sepanyol menutup kempen Kumpulan H, Piala Dunia 2026 dengan bergaya apabila menundukkan cabaran Uruguay.
Pasukan kendalian Luis De La Fuente tetap menurunkan barisan terbaik yang diketuai oleh Lamine Yamal sementara Uruguay mempertaruhkan Darwin Nunez untuk merobek gawang La Roja.
Uruguay bermula cemerlang apabila berjaya melakukan dua percubaan berbahaya menerusi rembatan kapten pasukan, Federico Velverde namun tidak menemui jaringan.
Menuju akhir babak pertama, Sepanyol berada di depan selepas percubaan Alex Baena berjaya menerjah jaring pada minit ke-42, menewaskan Fernando Muslera.
Aksi babak pertama tamat dengan Sepanyol mendahului permainan dengan jaringan 1-0 mengatasi Uruguay.
Bersambung babak kedua, Uruguay melakukan pertukaran tiga pemain manakala Sepanyol dua pemain.
Sepanyol berpeluang untuk menambah jaringan pada babak kedua menerusi percubaan Lamine Yamal namun tidak tepat ke sasaran.
Kemasukan Nico Williams dan Ferran Torres menambah bisa buat jentera serangan Sepanyol namun tidak cukup untuk menambah jaringan ke atas Uruguay.
Layangan kad merah kepada pemain sayap, Agustin Canobbio memberikan kesan besar kepada Uruguay sekali gus menutup peluang untuk bangkit.
Tambahan masa enam minit tidak berjaya mengubah keputusan perlawanan dengan kemenangan memihak kepada Sepanyol manakala Uruguay secara meritnya tidak layak ke pusingan kalah mati.