Piala Dunia FIFA: Sepanyol Lepas Geram Terhadap Arab Saudi
MakanBola
Seleccion Espanola

Sepanyol akhirnya merekodkan kemenangan pertama di pentas Piala Dunia FIFA selepas membelasah Arab Saudi pada awal pagi Isnin.

Kemenangan besar 4-0 ke atas Arab Saudi menjadi suatu detik terbaik buat Sepanyol membalas kritikan peminat selepas bekas juara Piala Dunia 2010 itu mempamerkan persembahan hambar ketika seri 0-0 bertemu Cape Verde sebelum ini.

Rombakan dibuat oleh Sepanyol melibatkan 4 pemain iaitu Lamine Yamal, Dani Olmo, Alex Baena dan Pedro Porro yang kembali dalam kesebelasan utama sementara Pemain Terbaik AFC, Salem Al-Dawsari memakai lilitan kapten bagi Arab Saudi.

Sepanyol tidak menunggu lama untuk memulakan pesta gol apabila Lamine Yamal membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 setelah bintang Barcelona itu dengan pantas menyambar hantaran silang Mikel Oyarzabal dari sebelah kanan gawang.

Mikel Oyarzabal kembali menebus persembahan longlai sebelum ini dengan meledak dua jaringan dalam masa 3 minit, berpunca daripada sepakan sudut yang mengakibatkan pertahanan Arab Saudi kelam-kabut sehingga dibolosi penyerang itu.

Babak kedua yang positif buat Sepanyol apabila percubaan Marc Cucurella ditepis oleh penjaga gol sebelum mengenai pertahanan Arab Saudi, Hassan Altambakti dan bergolek masuk ke dalam gawang untuk gol keempat jaguh Eropah itu.

Aksi 90 minit berakhir dengan keputusan 4-0 memihak Sepanyol sekali gus mencerahkan peluang La Roja bagi melangkah ke pusingan kalah mati dan nasib Arab Saudi pula berada di hujung tanduk.

Tumpuan selepas ini akan tertumpu kepada perlawanan terakhir kumpulan H apabila Sepanyol bakal turun berdepan jaguh Amerika Selatan, Uruguay manakala Arab Saudi perlu membuat perhitungan dengan Cape Verde pada 27 Jun hadapan.