Satu lagi tiket ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA kini menjadi milik Sepanyol selepas membenam cabaran Austria pada awal pagi Jumaat.
Kemenangan bertenaga 3-0 berjaya dilakar Sepanyol ke atas Austria untuk memastikan tempat ke pusingan 16 terbaik menjadi milik juara dunia edisi 2010 ini dengan Mikel Oyarzabal mencuri tumpuan dengan dua gol di Los Angeles ini.
Kesebelasan utama Sepanyol kekal dibarisi pemain-pemain hebat antaranya Lamine Yamal, Dani Olmo, Rodri serta Pedri sementara bentang pertahanan Austria ditunjangi bintang Real Madrid, David Alaba dan bek Spurs, Kevin Danso.
Mikel Oyarzabal meletakkan Sepanyol di hadapan pada minit ke-37 setelah penyerang Real Sociedad ini berhasil menampan lorongan silang oleh Marc Cucurella dan menewaskan Alexander Schlager di pintu gol Austria dengan cukup mudah.
Babak kedua menyaksikan dominasi berterusan dari kem La Roja sehingga terhasilnya jaringan kedua menerusi tandukan bebas oleh pertahanan kanan, Pedro Porro pada minit ke-66 sekali gus membuatkan Austria terus dihimpit tekanan.
Kemasukan bekas bintang EPL seperti Carney Chukwuemeka dan Marko Arnautovic masih gagal memberikan impak segera kepada Austria dengan benteng pertahanan Sepanyol tampak cukup ampuh untuk menyekat setiap asakan.
Kesempatan ini digunakan oleh Sepanyol bagi mencetak jaringan ketiga pada penghujung permainan selepas Mikel Oyarzabal tenang menampan hantaran Marc Cucurella sekali lagi hasil larian bebas tanpa dikawal oleh pertahanan lawan.
Pertarungan epik berakhir dengan keputusan 3-0 memihak Sepanyol sekali gus membawa La Roja ke pusingan 16 terbaik dan dijadualkan menentang pemenang aksi Portugal vs Croatia.