Hasrat Kanada muncul juara kumpulan B digagalkan Switzerland dalam aksi terakhir Piala Dunia FIFA pada awal pagi Khamis.
Pertarungan di Vancouver ini dianggap seperti perlawanan bagi menentukan slot selaku juara serta naib juara kumpulan B di pusingan kalah mati selepas Switzerland dan Kanada masing-masing berada di landasan terbaik sebelum mara.
Hasil perlawanan menyaksikan kemenangan 2-1 menjadi milik Switzerland dan membawa negara Eropah itu layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia FIFA sebagai juara kumpulan B dengan mengumpul 7 mata daripada 3 aksi diharungi.
Bintang-bintang terkemuka seperti Granit Xhaka, Manuel Akanji dan Breel Embolo kekal menjadi taruhan Switzerland untuk meraih 3 mata sementara Kanada turun dengan formasi 4-4-2 dan dipimpin oleh penyerang Juventus, Jonathan David.
Gol pembukaan berjaya dihasilkan oleh pemain sayap Switzerland, Ruben Vargas yang bijak menerima hantaran Johan Manzambi sebelum mencetak jaringan dengan menewaskan penjaga gol Kanada, Maxime Crepeau pada minit ke-46.
Nama Johan Manzambi sekali lagi mencuri tumpuan ramai setelah berjaya menggandakan kelebihan buat pasukan Switzerland dengan jaringan kedua pada minit ke-57 menerusi suatu percubaan kaki kanan yang kencang serta menerjah jaring.
Tuan rumah sempat mencetak gol pertama di minit ke-76 menerusi pemain gantian, Promise David yang pantas menyambar hantaran lintang daripada Nathan-Dylan Saliba dan gagal diselamatkan oleh penjaga gol Switzerland, Gregor Kobel.
Aksi 90 minit berakhir dengan kemenangan 2-1 diraih Switzerland sekali gus menyaksikan pasukan bimbingan Murat Yakin ini mengakhiri aksi kumpulan B di tangga teratas, diikuti Kanada di kedudukan yang kedua.
Sementara nasib Bosnia di tangga ketiga kumpulan B bakal ditentukan oleh keputusan perlawanan kumpulan lain dan juara Piala Asia 2023, Qatar pula menamatkan aksi Piala Dunia 2026 ini di kedudukan tercorot dengan hanya satu mata.