Piala Dunia FIFA: Uruguay Antara Negara Gagal Ke Pusingan 32 Terbaik
MakanBola
CONMEBOL

Uruguay antara 16 negara yang terlepas peluang layak ke pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia 2026.

Uruguay gagal mara selepas hanya mengutip dua mata dalam Kumpulan H. Ini selepas pasukan itu tewas tipis di tangan Sepanyol dalam aksi terakhir kumpulan.

Kegagalan ini cukup signifikan kerana anak buah Marcelo Bielsa dibarisi ramai pemain handalan yang mewakili kelab-kelab besar di Eropah dan Asia.

Antaranya tonggak tengah Real Madrid, Federico Valverde, bek tengah Atletico Madrid, Jose Maria Gimenez dan bekas penyerang Liverpool, Darwin Nunez.

Kegagalan ini juga memberi tamparan hebat kepada Bielsa. Ini kerana ini kali kedua pasukan yang dibimbing beliau terkandas di peringkat kumpulan selepas Argentina pada edisi 2002.

Lebih pahit, aksi tersebut turut menyaksikan pasukan itu kehilangan khidmat Manuel Ugarte akibat kecederaan. Pemain tengah Manchester United itu cuba membuat terjahan sebelum tidak dapat meneruskan permainan.

Sekiranya beliau mengalami kecederaan serius, ini bukan saja satu tamparan hebat kepada Uruguay. Malah, ini juga dilihat berita buruk buat United.

Ini kerana United sudah berkira-kira untuk menjual Ugarte untuk membiayai perpindahan dua pemain tengah untuk musim 2026/27. Situasi ini menyebabkan kelab kini terpaksa menimbang semula pilihan mereka.

Selain Uruguay, turut tersingkir ialah Korea Selatan, Czechia, Qatar, Scotland, Haiti, Turkiye dan Curacao. Tunisia, Iran, New Zealand, Arab Saudi, Iraq, Jordan, Uzbekistan dan Panama melengkapkan senarai pasukan yang tersingkir.