Piala Dunia FIFA: USA Sekat Momentum Australia
MakanBola
US MNT

Amerika Syarikat (USA) tidak berdepan masalah untuk menewaskan Australia dalam aksi Piala Dunia FIFA.

Kemenangan kedua dilakar oleh USA selepas dua gol di babak pertama sudah memadai untuk negara tuan rumah itu meleburkan misi Australia mengutip 3 mata dan menempah tempat pusingan kalah mati lebih awal.

Ini selepas kedua-dua negara berjaya merekodkan kemenangan dalam aksi pembukaan kumpulan D Piala Dunia FIFA minggu lalu dengan USA atasi tentangan Paraguay 4-1 sementara Australia pula menundukkan Turki 2-0.

Gandingan Folarin Balogun serta Ricardo Pepi menjadi senjata utama USA bagi mencari jaringan manakala Australia pula menurunkan trio pertahanan tinggi lampai diketuai Harry Souttar untuk mematahkan setiap asakan pihak lawan.

Penyokong tuan rumah bersorak ceria apabila USA berjaya menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-11 selepas lorongan rendah Ricardo Pepi mengenai kaki pemain Australia, Cameron Burgess sebelum menerjah ke gawang sendiri.

Pintu gawang Australia bocor lagi seminit sebelum rehat setelah rembatan muntah rakan sepasukan berjaya ditanduk kemas oleh Alexander Freeman dan menewaskan penjaga gol Socceroos, Patrick Beach buat kali kedua di aksi ini.

Keputusan penuh perlawanan menyaksikan USA menewaskan Australia 2-0 sekali gus mengikuti jejak Mexico yang layak ke pusingan kalah mati lebih awal.

Perlawanan terakhir bagi peringkat kumpulan D akan menemukan USA dan Turki manakala Australia pula bakal turun bertemu Paraguay dengan kedua-dua aksi penentuan tersebut dijadualkan berlangsung pada 26 Jun hadapan.