Piala Dunia FIFA: Uzbekistan Rebah Di Tangan Colombia
MakanBola
FIFA WORLD CUP

Impian Uzbekistan meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan K musnah apabila dibenam Colombia 3-1.

Meskipun Uzbekistan dilihat pasukan bukan pilihan kerana menduduki ranking ke-65 dunia namun dengan kehadiran pemain Manchester City, A.Khusanov dilihat dapat memberi ancaman kepada pasukan lawan.

Colombia pula yang menduduki ranking ke-11 memiliki beberapa pemain bintang termasuk pemain sayap Bayern Munich, Luis Diaz dan James Rodriguez.

Separuh masa pertama tampak suram di awal waktu meskipun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan menerusi bintang negara masing-masing.

Akhirnya, jaringan pertama aksi muncul pada penghujung babak menerusi satu rembatan kencang Daniel Munoz sekaligus menutup separuh masa pertama dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan Colombia.

Bersambung babak kedua, Uzbekistan dilihat meningkatkan tempo permainan bagi mencari gol penyamaan.

Gol penyamaan berjaya dihasilkan pada minit ke-60 menerusi Abbosbek Fayzullaev sekaligus memberikan kegembiraan kepada kem pasukan beliau.

Selang 5 minit, bintang Bayern Munich, Luis Diaz memastikan Colombia mendahului aksi semula selepas menjaringkan gol yang cantik pada minit ke-65.

Jaminton Campaz menutup hari gemilang skuad tersebut pada penghujung separuh masa kedua dengan meledak gol ketiga pasukan Colombia.

Aksi tamat dengan keputusan 3-1 memihak kepada pasukan Colombia sekaligus memastikan tempat pertama Kumpulan K menjadi milik mereka selepas aksi antara Portugal & DR Congo hanya berkesudahan terikat 1-1.