Bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan Ulsan HD hampa apabila tersingkir dalam saingan Piala Dunia Kelab selepas tewas kepada Fluminense.
The Tigers perlu bangkit selepas tewas tipis 1-0 kepada Mamelodi Sundowns. Fluminense turut hadir dengan misi memburu kemenangan selepas mengikat Borussia Dortmund tanpa jaringan.
Pan-gon memilih formasi 5-3-2 dengan Um Won-sang mengetuai jentera serangan Ulsan. Penyerang veteran Argentina, German Cano mengetuai jentera serangan Fluminense.
Separuh masa pertama menyaksikan Fluminense kerap menguasai bola menerusi Cano, Ganso, Jhon Arias dan Kevin Serna.
Situasi ini memaksa barisan pertahanan Ulsan diketuai Kim Young-gwon bekerja keras menyerap asakan kelab gergasi Brazil itu.
Gol yang dicari Fluminense hanya hadir pada minit ke-27 menerusi Arias. Sepakan percuma pemain sayap Colombia itu pantas menerjah penjuru atas gawang Ulsan.
Tatkala Fluminense terus mengasak, gawang mereka bocor 10 minit selepas itu menerusi Lee Jin-yung. Serangan balas pantas yang digerakkan juara K-League 1 musim 2024 itu pantas disudahkan Jin-yung.
Won-sang kemudiannya meletakkan Ulsan di hadapan pada minit akhir separuh masa pertama. Tandukan bekas penyerang Gwangju FC itu memastikan The Tigers mendahului 1-1 sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, pengendali Fluminense, Renato Portaluppi memasukkan Everaldo menggantikan Ganso untuk menambah sengat di bahagian serangan.
Won-sang hampir menambah kelebihan gol Ulsan pada minit ke-56 selepas berjaya melepasi pertahanan Fluminense. Malangnya, rembatan beliau hanya mengenai tiang.
Kesungguhan Fluminense memburu gol penyamaan akhirnya berhasil pada minit ke-66. Pemain gantian, Nonato melepaskan rembatan kencang yang menewaskan Jo Hyeong-woo.
Situasi ini mendorong Pan-gon memasukkan Matias Lacava untuk mengubah momentum perlawanan kembali kepada Ulsan.
Malangnya, itu tidak berlaku. Sebaliknya, Juan Freytes menyumbat gol ketiga buat Fluminense pada minit ke-83.
Keno memastikan Fluminense meraih kemenangan 4-2 pada akhir perlawanan dengan gol keempat pada minit ke-92.
Gol tersebut memastikan Ulsan tersingkir daripada saingan Piala Dunia Kelab. Keputusan ini menyaksikan The Tigers gagal meraih sebarang mata dalam Kumpulan F selepas dua perlawanan.
Fluminense pula berpeluang mara ke pusingan seterusnya sebagai juara kumpulan. Ini selepas kelab gergasi Brazil itu meraih empat mata selepas dua perlawanan.
Sofascore memilih Arias sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.2. Beliau jauh meninggalkan Jin-hyun yang meraih 8.0 mata.
Selepas ini, Fluminense akan menentang Sundowns pada 26 Jun untuk memburu slot kelayakan ke pusingan seterusnya. Pan-gon pula perlu mempersiapkan Ulsan untuk aksi menentang Dortmund pada hari yang sama.