Piala Dunia: Portugal Tewaskan Ghana
Piala Dunia
FIFA World Cup
Advertisements

Pasukan pilihan Portugal terpaksa bekerja keras sebelum selesa menewaskan Ghana 3-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan H Piala Dunia 2022 di Stadium 974.

Portugal yang menduduki tangga kesembilan dunia tidak berdepan masalah mendominasi Ghana pada babak pertama walaupun dibayangi kontroversi membabitkan legenda mereka Cristiano Ronaldo. Ronaldo hampir meletakkan A Selecao di hadapan pada minit ke-10 tetapi berjaya dinafikan penjaga gol Black Stars, Lawrence Ati-Zigi.

Ketumpulan penyudah Ronaldo yang menghantuinya di Manchester United musim ini sekali lagi menghalang legenda Portugal itu daripada menjaringkan gol. Kali ini, tandukannya hasil satu sepakan sudut Portugal tiga minit selepas itu lemah dan tidak menepati sasaran.

Advertisements

Bekas penyerang Real Madrid itu semakin kecewa apabila jaringannya pada minit ke-31 tidak dikira oleh pengadil. Ini selepas pengadil mendapati Ronaldo mengasari Christopher Djiku semasa merampas bola sebelum menewaskan Ati-Zigi. Walaupun cuba dibantah pemain-pemain Portugal, gol tersebut tetap tidak dikira.

Ronaldo terus dirundung malang apabila percubaannya menembusi pertahanan Black Stars diketuai pemain Leicester, Daniel Amartey gagal pada minit ke-42. Apabila Joao Cancelo cuba menghantar semula bola ke kotak penalti Ghana, tandukan bek kiri Borussia Dortmund, Raphael Guerreiro ke arah gol mereka dihalang secara tidak sengaja oleh kepala Ronaldo. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Portugal berusaha mencari gol pertama perlawanan. Tetapi barisan tengah A Selecao yang diterajui Bruno Fernandes seakan tiada idea mengatasi pertahanan Black Stars.

Advertisements

Sebaliknya, Ghana pula membuatkan Portugal gusar dengan melancarkan serangan balas terhadap kubu mereka. Pemain tengah Ajax Amsterdam, Muhammad Kudus hampir meletakkan Black Stars di hadapan menerusi percubaan jarak jauh pada minit ke-55 tetapi percubaan tersebut tersasar.

Ghana bernasib baik kerana tidak beraksi dengan 10 pemain. Ini selepas pemain pertahanan Alidu Seidu didakwa menanduk penyerang Atletico Madrid, Joao Felix. Tetapi pengadil memilih untuk tidak melayangkan kad kuning kedua kepada pemain pertahanan Clermont itu.

Portugal akhirnya memecah kebuntuan selepas Ronaldo dijatuhkan dalam kotak penalti oleh bek tengah Southampton, Mohammed Salisu pada minit ke-62. Bekas penyerang Real Madrid itu membuat sepakan penalti kencang yang gagal dinafikan Ati-Zigi pada minit ke-65.

Advertisements

Dengan penalti tersebut, Ronaldo turut melakar sejarah tersendiri sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia. Selain itu, ia turut menjadikannya sebagai penjaring gol kedua tertua dalam sejarah Piala Dunia di belakang penyerang Cameroon, Roger Milla.

Bagaimanapun, Ghana berjaya menyamakan kedudukan menerusi bekas pemain West Ham, Andre Ayew dua minit selepas itu. Hantaran Kudus dari sebelah kiri gagal disekat Danilo Pereira sekaligus membenarkan Ayew menewaskan penjaga gol Diogo Costa.

Tersentak dengan jaringan mengejut Black Stars, Portugal kembali mengasak lawan mereka. Hasilnya, hantaran cantik Fernandes berjaya disempurnakan Felix ke dalam gol Ghana pada minit ke-78. Penyerang A.C. Milan, Rafael Leao menamatkan sisa perjuangan Black Stars menerusi gol ketiga dua minit selepas itu.

Advertisements

Begitupun, Ghana kembali bangkit apabila hantaran Jordan Ayew sekali gagal dipintas Pereira. Ini membolehkan penyerang Red Star Belgrade, Osman Bukari mudah menewaskan Costa pada minit ke-88. Bagai mendapat semangat baru, Ghana terus memburu gol penyamaan tetapi keputusan 3-2 kekal sehingga wisel penamat.

Portugal mendahului Kumpulan H dengan tiga mata diikuti oleh Korea Selatan dan Uruguay yang berkongsi satu mata. Ghana bakal berdepan Korea Selatan pada 28 November dengan Portugal berdepan Uruguay pada awal pagi 29 November.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram