Hasrat tuan rumah, Qatar untuk bangkit daripada kekalahan 0-2 kepada Ecuador dalam perlawanan pertama Kumpulan A Piala Dunia 2022 tidak kesampaian. Ini selepas mereka tewas kepada Senegal di Stadium Al-Thumama dalam perlawanan kedua Kumpulan A hari ini.
Qatar kelihatan lebih tersusun dan berdisiplin berbanding perlawanan pertama dan ini dapat dilihat pada babak pertama. Tetapi Senegal lebih banyak menguji pertahanan Qatar dengan percubaan jarak jauh Idrissa Gueye pada minit ke-24 jauh tersasar.
Lima minit selepas itu, hantaran jauh penjaga gol Edouard Mendy terus dibawa dengan pantas oleh penyerang Watfrod, Ismaila Sarr. Bagaimanapun, penjaga gol Meshaal Barsham berjaya menutup ruang sebelum pemain pertahanan Boualem Khoukhi memberi bola semula kepada Barsham.
Senegal bernasib baik apabila Qatar tidak diberi sepakan penalti oleh pengadil pada minit ke-33. Ini selepas Akram Afif dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Sarr. Bagaimanapun, pengadil dan VAR tidak menganugerahkan penalti walaupun ulang tayang video jelas menunjukkan kekasaran pada Afif dalam kotak penalti.
Tetapi kekebalan benteng pertahanan The Maroon roboh juga menerusi Boulaye Dia pada minit ke-40. Kegagalan Khoukhi mengeluarkan bola dari kotak penalti Qatar menyebabkan Dia merampas bola daripadanya sebelum melepaskan rembatan menewaskan Barsham. Kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan Singa Tarawa menggandakan jaringan menerusi tandukan bekas penyerang Bristol City, Famara Diedhiou pada minit ke-48. Gol terhasil akibat sepakan sudut Senegal mudah ditanduk Diedhiou ke sudut jauh gawang melepasi Barsham.
The Maroon cuba bangkit dan mula menguji kecekapan Mendy menerusi Abdelkarim Hassan (minit ke-61) dan Almoez Ali (minit ke-62). Bagaimanapun, dua percubaan tersebut berjaya dinafikan penjaga gol Chelsea itu. 10 minit selepas itu, Khoukhi cuba menebus kesilapannya dengan menanduk ke arah gol Senegal tetapi berjaya dikeluarkan Mendy.
Kegagalan Senegal menambah jaringan mereka akhirnya membawa padah. Kegigihan serangan tuan rumah akhirnya berhasil apabila pemain gantian Mohammed Muntari menanduk masuk hantaran Ismaeel Mohammad pada minit ke-77. Itu juga merupakan gol pertama Qatar dalam sejarah Piala Dunia.
Tetapi keghairahan The Maroon melancarkan serangan menyebabkan pertahanan mereka terdedah kepada serangan balas Singa Tarawa. Akibatnya, Senegal menambah gol ketiga menerusi penyerang Olympique Marseille, Bamba Dieng pada minit ke-84 selepas menerima hantaran penyerang Sheffield United, Iliman Ndiaye. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dengan dua kekalahan ini, Qatar akan muncul sebagai tuan rumah Piala Dunia pertama tersingkir dari kejohanan jika Belanda menang menentang Ecuador. Senegal akan menentang Ecuador bagi menentukan siapa layak ke pusingan seterusnya pada 29 November. Manakala Qatar berdepan Belanda bagi perlawanan terakhir kumpulan pada hari yang sama.