Advertisements
Qatar 2022: Dua Gol Valencia Bantu Ecuador Tewaskan Qatar
Dunia
MakanBola
FIFA World Cup

Tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar memulakan kempen kumpulan A dengan langkah kiri. Ini selepas The Maroon ditewaskan pasukan Amerika Selatan, Ecuador di Stadium Al Bayt.

Qatar yang menduduki rangking ke-50 FIFA hampir-hampir ketinggalan pada minit ketiga menerusi gol tandukan bekas penyerang West Ham, Enner Valencia. Bagaimanapun, gol penyerang Fenerbahce itu dibatalkan selepas semakan VAR mendapati Valencia berada pada kedudukan ofsaid.

Qatar yang beraksi di Piala Dunia buat kali pertama kelihatan gementar dan tidak mampu menahan asakan Ecuador yang turut dibarisi dua pemain Brighton, Moises Caicedo dan Pervis Estupinan. Akibatnya, ia dieksploitasi oleh pihak lawan apabila Al-Sheeb menjatuhkan Valencia dalam kotak penalti pada minit ke-15.

Bekas penyerang Pachuca itu tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol Al-Sadd itu untuk gol pertama La Tri seminit selepas itu. Dengan gol yang sama, Valencia merupakan penjaring gol pertama kejohanan.

Qatar cuba bangkit tetapi suasana dan jangkaan penyokong yang tinggi mengakibatkan The Maroon kerap membuat kesilapan. Ini termasuk kerap kali kehilangan bola kepada lawan yang menduduki rangking ke-44 FIFA itu. Ini membolehkan La Tri mengawal tempo permainan mengikut rentak mereka tanpa sebarang masalah.

Valencia sekali lagi menghukum kealpaan benteng tuan rumah menerusi tandukan gol kedua pada minit ke-31. Ini selepas bek kanan Racing Genk, Angelo Presciado membuat hantaran tepat dari sebelah kanan kepada kapten Ecuador itu tanpa dicabar pemain-pemain pertahanan Qatar.

Qatar hampir merapatkan jurang menerusi cubaan penyerang Almoez Ali. Bagaimanapun, tandukan Almoez yang menerima hantaran daripada Hassan Al-Haydos hanya melepasi bahagian tepi gawang Ecuador. Kedudukan 2-0 kekal sehingga rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan The Maroon bimbingan Felix Sancez cuba memperkemaskan permainan mereka. Tetapi La Tri yang dibimbing Gustavo Alfaro terus mendominasi permainan dan mencari gol ketiga bagi menamatkan sisa perjuangan tuan rumah. Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan kekalahan ini, Qatar mencipta sejarah sebagai pasukan tuan rumah pertama tewas dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia. Perlawanan Qatar yang seterusnya ialah menentang Senegal pada 25 November. Sementara Ecuador pula berdepan pasukan gergasi Eropah Belanda pada tengah malam 26 November.