Pasukan dari Liga A1 Semi Pro, Malaysian University berjaya menewaskan cabaran PDRM untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA 2024/2025.
P. Maniam merehatkan barisan pemain utama seperti Fadi Awad, Bruno Suzuki dan Bryan See untuk memberikan kepercayaan kepada barisan kedua pasukan seperti Iqbal Azmi, Ashraf Kamal, Zuhair Aizat serta Shafizi Iqmal.
Malaysian University pula mempertaruhkan pemain-pemain seperti Syahir Rahman, Saiful Iskandar, Nashran Elias, Zahrul Nizam serta Asyraf Fadhil dalam menentang cabaran PDRM.
Malaysian University melakukan kejutan apabila mendahului seawal minit ke-4 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh Syahir Rahman.
Gawang gol PDRM sekali lagi dibolosi pada minit ke-9 perlawanan menerusi jaringan Hadi Mohamad yang berjaya menewaskan penjaga gol PDRM, Asri Muhamad.
Malaysian University tampil lebih bertenaga dalam melancarkan serangan sekali gus beberapa kali menguji benteng pertahanan PDRM.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan Malaysian University mendahului PDRM 2-0 hasil jaringan pada minit awal perlawanan.
Bersambung babak kedua, PDRM menggandakan asakan untuk meraih gol pertama namun beberapa percubaan yang dilakukan gagal menerjah jaring.
P. Maniam melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua dengan membawa masuk pemain seperti Nazrin Nasir, Hidhir Idris, Eizrul Asyraf, Alif Naquiddin dan Hakimi Mat Isa untuk mengubah perlawanan.
Ketika PDRM berhempas-pulas cuba untuk bangkit, Malaysian University sekali lagi menghukum PDRM menerusi jaringan ketiga pasukan hasil jaringan Zharif Nazhan pada minit ke-90.
Tiupan wisel penamat menyaksikan PDRM tewas 0-3 kepada Malaysian University dalam aksi pusingan 16 Piala FA.
PDRM kini tersingkir daripada saingan Piala FA manakala Malaysian University menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir Piala FA.