Advertisements
Piala Presiden: JDT Muncul Juara 3 Kali Berturut-Turut, Hampakan Selangor
Piala Belia
MakanBola
FA Malaysia

Johor Darul Ta’zim (JDT) III mencapai hatrik kejuaraan Piala Presiden berturut-turut setelah menewaskan juara lima kali, Selangor dalam perlawanan akhir kedua pada Rabu.

Pada aksi final pertama minggu lalu, JDT membawa bekalan tipis dari Kelana Jaya hasil jaringan Danish Syamer dan Abdul Raziq sementara gol tunggal Selangor disumbangkan Harry Danish.

Kesebelasan utama JDT dibarisi nama-nama seperti Zulhilmi Saarani, G. Pavithran dan Danish Hakimi sementara Selangor dengan formasi 4-3-3 sambil Haykal Danish diberi peranan di jentera tengah.

Sebaik wisel permulaan dibunyikan, tuan rumah sudah mula mengatur gerak dengan larian deras dari sebelah sayap oleh Pavithran dalam usaha awal JDT bagi mencari jaringan awal.

Di minit ke-11, JDT terlebih dahulu menguji gawang Selangor dengan rembatan Irfan Shahkimi yang diselamatkan penjaga gol lawan sebelum percubaan susulan oleh Pavithran hanya mengenai palang.

Seakan tersentak, skuad muda Selangor ini tidak melepaskan peluang bagi melakukan serangan dengan Alif Farhan hampir mencetak gol namun sepakan jarak jauhnya mengenai tiang.

Separuh masa pertama tamat, JDT III 0-0 Selangor.

Bersambung babak kedua, aksi kembali sengit dengan JDT terus menekan kubu lawan sambil Selangor terus memberi ancaman melalui gerakan yang diatur oleh Izrin Ibrahim dan Afiq Danish.

Suasana di stadium riuh seketika tatkala pemain gantian JDT, Danish Syamer berjaya membolosi pintu gol Selangor namun jaringan bekas pemain Negeri Sembilan itu dibatalkan akibat ofsaid.

Lima minit sebelum aksi tamat, Harry Danish miliki peluang terbaik buat Selangor mencipta jaringan namun rembatan beliau tepat ke arah dakapan penjaga gol muda JDT, Zulhilmi Saarani.

Aksi di Stadium MP Pasir Gudang berakhir dengan keputusan 0-0 sekaligus memastikan gelaran juara menjadi milik JDT III dengan agregat 2-1.

Kemenangan ini memastikan kejuaraan Piala Presiden ke-4 buat JDT secara keseluruhan selepas turut memenanginya pada tahun 2009, 2022 dan 2023 yang lalu.