Advertisements
Piya Akui Terlalu Rindukan Zaman Kegemilangan Pasukan Kelantan
Liga Premier
MakanBola
TRW Kelantan FC

Pemain tengah Kelantan United FC, Muhd Badhri Radzi baru-baru ini ada menceritakan momen-momen terindah dalam kariernya ketika bersama Kelantan FC suatu ketika dahulu sehingga boleh merangkul kejuaraan ‘treble’ pada tahun 2012 dan tahun-tahun berikutnya.

Menurut penjelasan dalam segmen 5 minit bersama Badhri Radzi oleh MFL, tambah pemain kelahiran Kelantan ini, beliau tidak dapat menafikan perasaan rindunya kepada skuad ’emas’ negeri kelahirannya itu ketika berjaya merangkul tiga piala dalam satu musim.

Kehadiran bekas jurulatih Kelantan yang kini berkhidmat di KL City FC, Bojan Hodak ke dalam pasukan tersebut sememangnya telah berjaya membentuk gandingan yang amat baik sebagai sebuah pasukan.

‘Kami semua sudah macam satu keluarga,’

Antara barisan pemain ketika itu termasuklah penjaga gol Melaka United, Khairul Fahmi Che Mat, pertahanan KL City FC, Nik Shahrul Azim dan ramai lagi lagenda bola sepak seperti Indra Putra Mahyuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Norfarhan Muhamad dan lain-lain.

Beliau menambah, kehadiran dua pemain import yang tidak asing iaitu Obinna Nwaneri dan juga Dickson Nwakaeme sememangnya amat memberi impak kepada pasukan.

Pengurusan pasukan yang baik juga merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan pasukan tersebut berjaya memperoleh kecemerlangan dalam tempoh beberapa tahun ketika itu.

Pemain berusia 37 tahun ini turut berkongsi kisah jatuh bangun dalam karier bola sepaknya sambil menyatakan permulaan yang sangat susah terpaksa ditempuhi sebelum bergelar lagenda bola sepak seperti yang diketahui hari ini.

‘Memang perjalanan saya bermula sangat sangat susah, kadang itu sampai jatuh basikal untuk pergi ke tempat latihan (Padang Perdana).’

Beliau turut mengakui keinginan dan cita-cita yang besar dalam bola sepak telah membawa dirinya untuk terus bekerja keras bagi mencapai matmalatnya.

‘Kadang kita rasa nak ada nama, nak rasa menjulang piala dan seterusnya untuk terus menabur bakti bersama skuad kebangsaan.’

Berbekalkan azam dan juga impian yang ingin dicapai, beliau percaya setiap pemain juga turut mempunyai peluang untuk menyinar suatu hari nanti.

Beliau kini masih menabur bakti di bumi Kelantan bersama Kelantan United di Liga Premier.