Kemenangan mengejut Maghribi ke atas Portugal di peringkat suku akhir Piala Dunia 2022 semalam terus diperkatakan. Tetapi bagi ramai pemain A Selecao, mereka menyalahkan pengadil Argentina Facundo Tello kerana membuat banyak keputusan yang tidak menyebelahi mereka. Ini dapat dilihat pada komen Bruno Fernandes dan bek tengah veteran Pepe.
Portugal tewas 1-0 kepada Singa Atlas hasil jaringan Youssuf En-Nesyri pada minit ke-42. A Selecao cuba mengejar tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Tetapi bagi Pepe, pemilihan Tello sebagai pengadil perlawanan dianggap aneh memandangkan Argentina masih lagi beraksi dalam Piala Dunia. Maka, nama pengadil Argentina itu tidak seharusnya dipiih sebagai pengadil perlawanan mereka.
Ini ditegaskan bekas bek tengah Real Madrid itu semasa ditemubual media, “Ia sesuatu yang tidak boleh diterima pengadil Argentina mengadili perlawanan hari ini selepas apa yang berlaku semalam (kelmarin). Dengan Messi merungut dan Argentina mengeluarkan kenyataan.
“Saya tak kata ia mempengaruhi tetapi apa sebenarnya yang kita main semalam? Semua perkara. Penjaga gol mereka (Yassine Bounou) sentiasa berhenti, pengadil hanya menambah lapan minit masa tambahan. Selepas apa yang saya lihat hari ini, mereka (FIFA) boleh saja berikan Piala Dunia kepada Argentina.”
Tetapi kemarahan Pepe tidak dapat mengatasi kemarahan pemain tengah Manchester United, Fernandes. Walaupun cuba ditenangkan pegawai media Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) dalam temubual pasca-perlawanan, bekas pemain tengah Sporting Lisbon itu memberitahu, “Jangan sentuh saya. Saya akan cakap apa yang saya mahu cakap. Pergi jahanamlah…”
Kemudian Fernandes berkata kepada pihak media, “Saya mahu katakan amat pelik pengadil yang mengadili perlawanan hari ini berasal dari negara (Argentina) yang masih bersaing dalam Piala Dunia dan kami tidak mempunyai pengadil Portugis dalam kejohanan ini. Pengadil-pengadil kami pernah mengadili perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), jadi mereka mempunyai kualiti dan tahap untuk berada di sini.
“Pegawai-pegawai perlawanan (merujuk kepada pasukan pengadil diketuai Tello) tidak pernah mengadili perlawanan UCL, jadi mereka tidak biasa dengan jenis perlawanan sebegini, mereka tidak mempunyai kepantasan. Mereka jelas mengubah keputusan atas padang.
“Pada babak pertama, saya percaya saya patut dapat penalti, tanpa sebarang keraguan kerana saya bersendirian dan saya tak pernah jatuhkan diri seumur hidup saya, bila saya berdepan dengan penjaga gol secara bersendirian dan boleh melepaskan rembatan ke arah gol. Mudah sahaja.”
Portugal boleh merungut tentang apa yang berlaku semalam tetapi itu tidak menafikan hakikat jentera serangan mereka tumpul semasa menentang Maghribi. Bukan sekali percubaan mereka dinafikan Bounou, terkena tiang atau palang dan tersasar. Dan pada akhirnya, Singa Atlas menunjukkan kemahuan untuk berjaya sekaligus menempah slot ke separuh akhir dengan Perancis sebagai lawan mereka. Sekiranya berjaya mengatasi cabaran sukar Les Bleus, Maghribi boleh mara ke final.