Advertisements
Maghribi Singkirkan Portugal Dari Piala Dunia
Piala Dunia
MakanBola
CBS Sports Golazo

Maghribi terus mencipta kejutan dalam Piala Dunia 2022 dengan menyingkirkan Portugal di pentas suku akhir. Dengan kemenangan mengejut ini, Maghribi bakal menunggu England atau Perancis sebagai lawan mereka di separuh akhir.

Walaupun A Selecao tidak menurunkan Cristiano Ronaldo, kesebelasan utama mereka diterajui Bruno Fernandes tetap pasukan yang kuat. Sebaik sepak mula, Portugal mula mengasak gawang Yassine Bounou dan hampir mendahului menerusi Joao Felix seawal minit kelima tetapi berjaya ditangkap kemas penjaga gol Sevilla itu.

Di sebalik dominasi lawan mereka berstatus gergasi Eropah, Maghribi sekali-sekala mengancam gawang Portugal yang dikawal penjaga gol Porto, Diogo Costa. Pada minit ke-18, pemain sayap Chelsea Hakim Ziyech melepaskan rembatan jarak jauh ke gawang A Selecao tetapi sepakannya tersasar. Tujuh minit selepas itu, Ziyech menghantar bola dalam kotak penalti Portugal tetapi tandukan Youssuf En-Nesyri terkena bahunya sebelum bola keluar dari permainan.

Youssuf En Nesyri Maghribi Piala Dunia 2022 Ben Jacobs Maghribi Singkirkan Portugal Dari Piala Dunia
Youssuf En-Nesyri menanduk masuk gol pertama Maghribi. Gambar: Ben Jacobs

Portugal kelihatan tumpul di depan gol dengan beberapa percubaan Joao Felix tidak menemui sasaran. Hal ini segera dimanfaatkan Maghribi menerusi gol pertama perlawanan menerusi En-Nesyri pada minit ke-42. Satu hantaran daripada bek kiri Yahia Attiyat Allah ke kotak penalti cuba ditumbuk Costa tetapi tidak mengena. Sebaliknya, hantaran tersebut mudah disempurnakan penyerang Sevilla itu dan meletakkan Singa Atlas di hadapan.

Cristiano Ronaldo Portugal Piala Dunia 2022 ESPN FC Maghribi Singkirkan Portugal Dari Piala Dunia
Ronaldo kecewa selepas melihat Maghribi mendahului 1-0. Gambar: ESPN FC

Portugal cuba bangkit menerusi percubaan Bruno Fernandes pada minit ke-45 tetapi percubaan pemain tengah Manchester United itu hanya mengenai palang gol. A Selecao kemudiannya naik angin apabila Otavio dijatuhkan dalam kotak penalti Maghribi tetapi tidak dilayan oleh pengadil. Kedudukan 1-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Ziyech terus menghuru-harakan pertahanan Portugal menerusi sepakan percuma pada minit ke-49 tetapi berjaya ditepis Costa. Terdesak, jurulatih Portugal Fernando Santos memasukkan Ronaldo dan Joao Cancelo bagi mengubah rentak permainan. Legenda Portugal itu mencipta sejarah menyamai rekod penampilan antarabangsa yang dipegang Bader al-Mutawa iaitu 196 penampilan bila muncul sebagai pemain gantian.

Sekitar minit ke-55, bek kanan Manchester United Diogo Dalot membuat satu hantaran ke kotak penalti tetapi berjaya ditangkap kemas Bounou. Tiga minit selepas itu, penyerang Benfica Goncalo Ramos berjaya melepasi dua bek tengah Maghribi sebelum menanduk ke arah gawang Bounou. Bagaimanapun, tandukannya tersasar sekaligus menambah tekanan kepada jentera serangan Portugal.

Fernandes sekali lagi hampir menyamakan kedudukan menerusi satu rembatan yang kuat pada minit ke-64 selepas menerima hantaran Bernardo Silva. Bagaimanapun, pemain tengah Red Devils itu menjerit hampa selepas percubaannya melepasi palang gawang Bounou.

A Selecao kemudiannya mendapat beberapa sepakan sudut minit ke-72 hingga 74 tetapi gagal menemui penyudah diperlukan untuk menewaskan penjaga gol Sevilla itu. Sebaliknya, mereka pula hampir dibolosi buat kali kedua menerusi satu serangan balas Maghribi tetapi sentuhan Walid Cheddira yang terlampau kuat mengakibatkan bola terkeluar dari permainan.

Dengan jentera serangan A Selecao tumpul, Santos memasukkan Ricardo Horta bagi membantu Ronaldo menembusi gawang Bounou. Sementara Maghribi pula memasukkan Zakaria Aboukhlal dan Yahya Jabrane bagi membolehkan Ziyech dan Soufiane Boufal direhatkan.

Felix menyangka rembatannya pada minit ke-82 berjaya menembusi gawang Bounou tetapi berjaya ditepis keluar penjaga gol Sevilla itu. Dengan perlawanan memasuki minit-minit terakhir, pemain-pemain Portugal terdesak memburu gol penyamaan dan mengheret perlawanan ke masa tambahan. Ronaldo melepaskan rembatan ke arah gol Maghribi pada minit ke-91 tetapi rembatannya dinafikan Bounou sebelum bola ditangkap kemas penjaga gol Los Rojiblancos.

Maghribi pula berada di bawah tekanan apabila Cheddira kemudiannya dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua. Tetapi Singa Atlas hampir menambah gol kedua menerusi Aboukhlal pada minit ke-96 tetapi berjaya dinafikan Costa. Sementara Pepe pula menyaksikan tandukannya ke arah gawang Maghribi pada minit ke-97 tidak mengenai sasaran. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan keputusan ini, Maghribi hanya perlu mengatasi England atau Perancis jika mahu layak ke final. Dan mereka turut mencipta sejarah sebagai wakil Afrika pertama layak ke separuh akhir. Walau apa yang berlaku selepas ini, Singa Atlas telah membanggakan benua Afrika dan dunia Arab.