Kedudukan jurulatih skuad senior Malaysia, Kim Pan-gon tidak tergugat meskipun skuad negara gagal melepasi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026.
Malaysia berdepan kesukaran untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026. Ini selepas Harimau Malaya tewas dua kali kepada Oman dalam dua aksi kelayakan pada Mac lalu.
Dua kekalahan itu membuka ruang kepada Kyrgyzstan dan Oman menduduki kedudukan dua teratas Kumpulan D dengan sembilan mata.
Sementara Malaysia pula menduduki tangga ketiga kumpulan dengan enam mata. Manakala Taiwan berada di kedudukan keempat tanpa sebarang mata.
Atas sebab itu, ramai peminat bola sepak Malaysia menyifatkan baki dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan (6 Jun) dan Taiwan (11 Jun) sebagai misi penting buat skuad negara.
Seandainya skuad negara gagal layak ke pusingan seterusnya, itu bukan bermakna kedudukan Pan-gon sebagai jurulatih Harimau Malaya akan tergugat.
Ini kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap menaruh kepercayaan kepada jurulatih Korea Selatan itu untuk membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2027.
Walau bagaimanapun, usaha Pan-gon untuk membentuk skuad mantap untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan hadapan bakal berdepan cabaran.
Ini kerana jurulatih berusia 55 tahun itu perlu melupakan khidmat dua pemain sayap negara, Akhyar Rashid dan Faisal Halim susulan insiden menyedihkan yang menimpa mereka baru-baru ini.
Akhyar menjadi mangsa jenayah samun dan turut mengalami kecederaan selepas dipukul dengan cota berhampiran kediamannya di Tanjung, Kuala Terengganu.
Sementara Faisal pula menjadi mangsa simbahan asid oleh individu yang tidak dikenali dalam satu kejadian yang berlaku pada Ahad lepas.
Faisal mengalami kelecuran tahap empat dan kini menjalani pembedahan kedua di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.
Pan-gon dijangka mencari ramuan alternatif apabila skuad negara berkumpul untuk kem latihan pusat pada 27 Mei ini.