Pra-Musim 2023: Aura Cheng Hoe Bawa Selangor Tewaskan Negeri Sembilan

Negeri Sembilan Selangor FC Pra-Musim 2023: Aura Cheng Hoe Bawa Selangor Tewaskan Negeri Sembilan
Selangor FC
Azim Noor @mohdazim45
11:06pm 16/02/2023

Selangor meneruskan persiapan pra-musim Liga Super dengan mencatat kemenangan 3-1 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium MBPJ hari ini.

Selepas jurulatih Tan Cheng Hoe merasa tidak puas hati dengan kualiti penyudah anak-anak buahnya dalam beberapa perlawanan pra-musim, barisan pemain diketuai Brendan Gan tampil lebih kemas kali ini.

Babak pertama menyaksikan Selangor membolosi gawang pelawat yang dikawal Tauffiq Ar Rasyid Johar sebanyak tiga kali. Gergasi Merah membuka jaringan menerusi Hein Htet Aung pada minit ke-28.

Sebelum rehat separuh masa, Selangor menambah dua lagi gol menerusi Fazly Mazlan (minit ke-42) dan Ayron Del Valle (minit ke-44). Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Negeri Sembilan bangkit mengejar. Tetapi mereka hanya mampu menjaringkan gol saguhati menerusi Mahalli Jasuli pada minit ke-77 dengan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Walaupun ini hanyalah aksi pra-musim, Selangor kelihatan lebih mantap untuk mengharungi saingan liga musim ini. Sementara bagi anak-anak buah K. Devan pula, keserasian dengan dua import baru, Levy Madinda dan Ezechiel N’Douassel perlu ditambahbaik.

Kedua-dua pasukan bakal membuka cabaran Liga Super mereka pada 26 Februari. Selangor bakal berdepan Kelantan United dengan skuad Jang pula berdepan Sri Pahang.