“Prestasi Individu Lebih Penting Berbanding Keputusan” – Matyo

Malaysia Syria FA Malaysia "Prestasi Individu Lebih Penting Berbanding Keputusan" - Matyo
FA Malaysia
Nik Faris @nikfalovic
11:28am 08/09/2023

Bekas penyerang lagenda Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih mesra dikenali sebagai Matyo yakin persembahan individu lebih diutamakan berbanding keputusan di China.

Pemain berusia 37 tahun itu teruja dengan kemampuan sebenar Harimau Malaya selepas berjaya mengikat pasukan ke-94 dunia Syria dengan keputusan 2-2.

Mengulas lanjut, beliau melihat motivasi pasukan ketika ini berada pada tahap yang terbaik disebabkan mampu bangkit daripada ketinggalan dua gol menentang pasukan tangga 100 terbaik dunia.

“Dari segi motivasi sudah tentu di tahap terbaik apabila dapat menyamakan kedudukan dengan pasukan Syria. Bukan pasukan dari Asia Tenggara, ranking mereka pun lebih tinggi dari kita.”

Matyo bagaimanapun merasakan tumpuan terarah kepada prestasi individu untuk dinilai oleh Kim Pan-gon.

“Yang penting ialah prestasi individu. Itu preparation yang Kim Pan-gon mahu lihat ke Piala Asia. Keputusan itu kalau seri ya amat baik tetapi prestasi individu itu lebih penting berbanding keputusan bagi saya,” jelasnya kepada Astro Arena.

Dua gol daripada Akhyar Rashid dan Darren Lok memastikan Malaysia mencuri tambahan +1.4 mata FIFA untuk terus menapak ke dalam kelompok 120 terbaik dunia.

Ujian berikutnya adalah apabila Harimau Malaya dijadualkan menentang China pada 9 September 2023 di Chengdu, China.