Lihat Cara Kim Pan-gon Baiki Kelemahan Utama Malaysia

Kim Pan gon Malaysia 2 Lihat Cara Kim Pan-gon Baiki Kelemahan Utama Malaysia
FA Malaysia
Nik Faris @nikfalovic
7:33pm 07/09/2023

Kerisauan ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon menentang pasukan 100 terbaik dunia bakal berakhir selepas pasukan negara membuktikan prestasi sebaliknya.

Pengendali kelahiran Korea Selatan itu mula menyatakan kegusaran berkenaan ketahanan mental para pemainnya yang sedikit bergelut selepas ketinggalan.

Perkara ini menjadi tumpuannya tatkala Harimau Malaya berdepan ujian dua pasukan hebat iaitu Syria dan China.

Persembahan para pemain menentang anak buah Hector Cuper itu memberi jawapan terbaik bahawa masalah utama skuad kebangsaan hampir selesai.

Pan-gon dalam satu kenyataan ketika latihan pusat sempat menggariskan beberapa perkara penting yang berada dalam perhatiannya.

“Pemain perlu percaya diri. Mereka selalunya menang dalam keadaan yang tidak selesa. Kita mesti baiki perkara itu.”

“Pasukan lawan menjaringkan gol dan para pemain terkejut. Jangan terkejut. Mereka begelut dan kita akan sukar selepas itu, ujarnya.

Pengendali berusia 52 tahun yakin masalah itu datang daripada keyakinan dan mentaliti pemain namun sedar perkara ini perlu diubah.

Keadaan ini jelas tidak lagi berlaku ketika Malaysia mengikat Syria dengan keputusan 2-2 semalam.

Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan untuk mempamerkan aksi luar norma dengan menjaringkan dua gol menerusi Akhyar Rashid dan Darren Lok.

Moral Malaysia jelas berada pada tahap terbaik dan mampu memberi tentangan hebat kepada pasukan ke-94 dunia.

Selepas ini, Harimau Malaya akan berdepan satu lagi lawan hebat iaitu China yang menghuni tangga ke-94 FIFA pada 9 September 2023.