Prestasi Semasa, Rekod Jaringan & Pemain Tumpuan JDT Hadapi Shan United
MakanBola
Johor Southern Tigers

Prestasi semasa Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka memberi kelebihan kepada pasukan itu menjelang aksi terbaru Kumpulan B Shopee Cup menentang Shan United.

Ini kerana JDT bukan saja masih mengekalkan rekod kemenangan 100% dalam Liga Malaysia (Liga M) setakat ini.

Malah, pasukan itu turut merekodkan tujuh kemenangan daripada tujuh aksi terakhir mereka. Ini termasuk kemenangan 2-0 ke atas musuh tradisi, Selangor FC pada 4 Januari lalu.

Selain itu, JDT turut merekodkan 11 gol dalam aksi pusingan 16 Piala Malaysia menentang PDRM FC baru-baru ini.

Ini menjadikan 24 gol dijaringkan JDT dalam tujuh aksi terakhir mereka. Selain itu, mereka juga hanya dibolosi empat kali dalam tempoh sama.

Harimau Selatan juga merekodkan prestasi baik dalam Shopee Cup dengan memiliki rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan. Pasukan itu memiliki dua kemenangan dan satu keputusan seri.

JDT turut menyumbat sembilan gol dan dibolosi sebanyak tiga kali dalam tempoh sama. Enam gol pasukan itu masing-masing disumbangkan oleh Bergson da Silva dan Joao Figueiredo.

Kehadiran semula bekas penyerang Istanbul Basaksehir itu dijangka menambah taji JDT menjelang aksi menentang Shan United pada Khamis.