JDT sebelah kaki di suku akhir selepas mudah menewaskan PDRM dengan keputusan 1-10 dalam aksi pertama pusingan 16 saingan Piala Malaysia musim 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.
JDT menurunkan Christian Abad sebagai penjaga gol, dengan Afiq Fazail menggalas lilitan kapten pasukan, manakala Bergson da Silva mengetuai jentera serangan.
Sementara itu, PDRM mempertaruhkan Asri Muhamad di posisi penjaga gol, dengan Park Tae-su memimpin kesebelasan utama pasukan The Cops.
JDT bermula garang apabila melancarkan beberapa serangan berbahaya seawal minit-minit awal babak pertama menerusi Teto Martin.
Usaha tersebut membuahkan hasil apabila Teto Martin meledak gol pembukaan pada minit ke-3, sekali gus memberikan kelegaan kepada kem Johor Darul Ta’zim (JDT).
Beliau kemudiannya sekali lagi merobek gawang The Cops pada minit ke-7 untuk menghadiahkan kelebihan berganda kepada JDT dalam tempoh 10 minit pertama perlawanan.
JDT terus menerus menguasai penuh perlawanan separuh masa pertama dengan melakukan lambakan percubaan menerusi Bergson da Silva.
Bergson dilihat menambah jaringan ketiga JDT pada minit ke-42, namun gol tersebut tidak disahkan apabila beliau berada dalam kedudukan ofsaid.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-2 memihak kepada Harimau Selatan.
JDT meningkatkan intensiti permainan pada awal separuh masa kedua untuk memburu gol tambahan.
Nazmi Faiz menjaringkan gol ketiga pada minit ke-47 hasil umpanan cantik Jonathan Silva, sebelum Teto Martin melengkapkan hatrik pada minit ke-50 untuk gol keempat Harimau Selatan.
Imran Samso berjaya menghadiahkan gol saguhati buat pasukan PDRM selepas meledak jaringan cantik pada minit ke-61 permainan.
Namun, Johor Darul Ta’zim tidak mengendurkan asakan apabila Teto Martin menambah gol kelima Harimau Selatan, sekali gus melengkapkan gol keempat peribadinya dua minit kemudian.
Pemain import baharu JDT, Marcos Guilherme, terus membuktikan sentuhan berbisa apabila mencetak gol keenam pasukan pada minit ke-66.
Teto Martin kemudiannya melengkapkan hari gemilangnya dengan meledak gol ketujuh Harimau Selatan pada minit ke-73, sekali gus mematikan sepenuhnya kebangkitan pasukan The Cops.
Manuel Hidalgo memberikan gol kelapan pasukan Harimau Selatan pada minit ke-86 aksi.
Marcos Guilherme berjaya memberikan gol kesembilan pasukan Harimau Selatan pada minit ke-90 hasil bantuan jaringan oleh Yago Cesar.
Teto Martin berjaya melengkapkan hatrik berganda beliau pada minit ke-94 perlawanan.
Aksi tamat dengan keputusan 1-10 memihak kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Selepas ini, kedua-dua pasukan akan bertemu semula dalam aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia musim 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 Januari depan.