Aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia antara PDRM FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan bukan Stadium Selayang.
Perkara ini didedahkan pengurus pasukan, Mohd Shamshul Hisham Abd Razak berhubung perkara tersebut.
Shamshul Hisham memaklumkan faktor kos menjadi faktor utama keputusan tersebut diambil. Beliau turut memaklumkan pengurusan Harimau Selatan telah menerima permohonan The Cops.
“Pertama, sebab kami minta tukar ke SSI sebab 14 Januari, kami menentang Melaka di Stadium Hang Tuah.
“Jadi, pihak pengurusan ambil pendekatan tak nak melibatkan kos yang tinggi jika kita patah balik dan bermain di Kuala Lumpur.
“Kita terus ke Johor untuk perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia. Kita sudah mohon dengan pihak JDT untuk bermain di SSI dan pihak JDT menerima permohonan kita,” katanya.
Shamshul Hisham melihat perubahan ini dapat membantu pengurusan PDRM terutama dari segi penstrukturan semula. Beliau juga berterima kasih kepada JDT kerana sudi menerima permohonan pasukan itu.
“Pertama, kita dapat kurangkan kos pengurusan bermain di stadium kita dan yang keduanya, kita dalam proses penstrukturan semula pengurusan kita.
“Terima kasih kepada pihak JDT kerana menerima permohonan kami untuk bermain di sana,” ujarnya.
PDRM akan menentang JDT untuk aksi pertama pusingan 16 pada 18 Januari ini.